CGS CIMB turunkan saranan daripada 'Tambah' kepada 'Kekal' saham Petronas Gas | DagangNews Skip to main content

CGS CIMB turunkan saranan daripada 'Tambah' kepada 'Kekal' saham Petronas Gas

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - CGS CIMB mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 Petronas Gas Bhd (PetGas) sebanyak sebanyak 2.8% dengan mengambil kira kesan Cukai Makmur.

 

Namun firma penganalisis itu meningkatkan unjuran EPS tahun kewangan 2021 dan 2023 masing-masing sebanyak 3.8-3.9% berikutan margin regasifikasi dan utiliti yang lebih baik.

 

"Untuk itu kami menurunkan saranan kepada 'Kekal' memandangkan jangkaan pendapatan tahun 2022 dan 2023 yang lebih lemah berbandingtahun kewangan 2021 disebabkan oleh Cukai Makmur," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Untung bersih Petronas Gas Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 susut 1.72% kepada RM580.84 juta berbanding RM591.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan meningkat 1.45% kepada RM1.43 bilion pada suku berkenaan daripada RM1.41 bilion.

 

Peningkatan pendapatan itu disumbang terutamanya menerusi hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti dan regasifikasi sejajar dengan jumlah jualan lebih tinggi dan aliran baharu pendapatan daripada pendapatan sampingan gas asli cecair. 

 

Ia menyaksikan pendapatan sesaham menurun kepada 29.35 sen daripada 29.78 sen sejajar dengan keuntungan bersih yang menyusut.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih Petronas Gas meningkat 2% kepada RM1.54 bilion daripada RM1.51 bilion bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan susut 1.23% kepada RM4.15 bilion berbanding RM4.2 bilion. 

 

 

Sementara itu MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, di sebalik pandemik yang berterusan, prestasi PetGas pada tahun kewangan 2021 berkemungkinan berdaya tahan, kerana model perniagaan kumpulan dan kontrak jangka panjang memastikan aliran pendapatan yang konsisten, terutamanya dalam bidang perniagaan Pemprosesan Gas, Pengangkutan Gas dan Pengegasan Semula. 

 

"Di bawah tarif Tempoh Kawal Selia 1 (RP1), sektor perniagaan Pengangkutan Gas dan Pengegasan Semula dijangka terus menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya. -DagangNews.com