CGS-CIMB unjur pertumbuhan 25% dalam jualan Inari  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur pertumbuhan 25% dalam jualan Inari 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - CGS-CIMB menjangkakan Inari Amerton Bhd mengekalkan kadar penggunaan yang tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2022 disebabkan pemuatan jumlah yang mantap daripada pelanggan utamanya.

 

Firma menganalisis itu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan Inari bahawa penggunaan bahagian frekuensi radionya (RF) telah berlegar melebihi 90% sejak September tahun ini.

 

"Secara keseluruhan, kami mengunjurkan 25% pertumbuhan jualan untuk bahagian RF pada tahun kewangan 2022.

 

"Kami mengurangkan ramakan pendapatan sesaham Inari sebanyak 1-3% untuk mengambil kira perbelanjaan cukai yang lebih tinggi memandangkan pelaksanaan Cukai Makmur tetapi kami masih menjangka Inari mengekalkan kadar cukai purata berkesan yang rendah sebanyak 9% kerana ia masih menikmati faedah pengecualian cukai perintis yang akan bertahan sehingga akhir 2022," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Hasil pada suku pertama tahun kewangan 2022 meningkat 24% tahun ke tahun kepada RM431 juta disebabkan permintaan yang lebih kukuh daripada semua bahagian – RF, Generik dan Optoelektronik, dengan hasil masing-masing meningkat 37%, 24% dan 4%. 

 

Inari turut merekodkan jualan yang lebih kukuh didorong oleh ketersediaan tenaga kerja yang lebih tinggi apabila Pulau Pinang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara pada 7 Jul 2021. 

 

"Menghapuskan inventori dan kerugian pelupusan PPE berjumlah RM1.1 juta, Inari mencatatkan keuntungan bersih teras RM108 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 yang juga merupakan rekod keuntungan bersih suku tahunan baharu bagi kumpulan itu," katanya.  -DagangNews.com