CGS-CIMB: Velesto dijangka kembali jana keuntungan pada FY23 didorong penggunaan pelantar ‘jack-up’ | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB: Velesto dijangka kembali jana keuntungan pada FY23 didorong penggunaan pelantar ‘jack-up’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Velesto Energy Berhad dijangka kembali mencatat keuntungan bersih RM156.3 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) daripada kerugian bersih RM100.4 juta pada FY22, kata CGS-CIMB Research.

 

Ramalan keuntungan bersih kumpulan itu juga dianggarkan pada RM282 juta hingga 367 juta selama lima tahun antara FY24 dan FY28, sebelum menyederhana kepada RM86 juta hingga 97 juta pada FY29-32.

 

Menurut firma penyelidikan itu, data terkini mencadangkan bahawa kontrak baharu Velesto mungkin telah diperolehi dengan kadar sewaan harian (DCR) melebihi AS$100,000 sehari berbanding andaiannya sebelum ini sebanyak AS$90,000 sehari.

 

“Dengan penggunaan pelantar yang mungkin memenuhi jangkaan sebanyak 80%, kami meningkatkan ramalan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-25 sebanyak 10 hingga 32% disandarkan pada DCR yang lebih tinggi,” katanya dalam nota hari ini.

 

Selain itu, penggunaan ‘jack-up’ di Asia Tenggara mencecah 83.1% pada Mei 2023 daripada 55% pada 2021 dan 64% dalam 2022.

 

Firma itu berkata, penggunaan ‘jack-up’ melonjak berikutan bekalan pelantar tahunan merosot 23% tahun ke tahun (YoY) dan permintaan pelantar tahunan hampir tidak berubah YoY.

 

“Purata DCR di Asia Tenggara telah meningkat daripada AS$74,00 sehari pada 2022 kepada AS$89,000 sehari pada Mei 2023 dan mungkin terus meningkat apabila kontrak baru-baru ini telah ditandatangani pada tahap yang lebih tinggi, termasuk untuk pelantar Velesto,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk jangkaannya bahawa Velesto akan kembali kepada keuntungan pada 1Q23 daripada kerugian 4Q22 dan peningkatan DCR yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

CGS-CIMB mengulangi saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 26 sen sesaham dengan andaian DCR jangka panjang untuk FY23-28 ditingkatkan sebanyak AS$10,000 sehari.

 

Setakat pukul 11:10 pagi ini, saham Velesto telah menokok 0.5 sen atau 2.2% kepada 23.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.93 bilion. -DagangNews.com