CGS-CIMB yakin permintaan terhadap produk keluaran Nestle akan meningkat bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB yakin permintaan terhadap produk keluaran Nestle akan meningkat bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - CGS-CIMB Research yakin permintaan produk keluaran Nestle (Malaysia) Berhad akan meningkat pada FY22 dan ia disokong oleh pemulihan pasaran domestik selain pelancaran produk terbaharunya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam usaha untuk mengatasi peningkatan kos bahan mentah, Nestle dijangka menyerap sebahagian daripada margin keuntungan untuk jangka pendek.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu yakin akan berjaya mengawal perkara itu menerusi aktiviti pengawalan nilai, kawalan kos yang lebih baik dan peningkatan harga produk secara berperingkat.

 

"Kami percaya bahawa Nestle akan terus memainkan peranan dalam mengekalkan harga produk mereka dan hanya akan meningkat harga sekiranya diperlukan dan ia adalah tindakan terakhir dalam usaha untuk melindungi margin keuntungan kumpulan.

 

"Kami juga percaya Nestle sudah menaikkan harga jualan bagi sesetengah baragan sejak penghujung 4Q21 dan sedang berusaha meningkatkan keuntungan menerusi jualan barangan bermusim pada harga lebih tinggi.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga boleh menjangkakan perbelanjaan berkaitan COVID-19 akan menurun pada FY22F akibat penurunan harga kit ujian selain kos pemberian vaksin lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Nestle Malaysia akan berdepan masalah kenaikan harga bahan mentah

 

BACA JUGA: Nestle catat keuntungan bersih 4QFY21 lebih rendah akibat harga komoditi tinggi

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi 4QFY21 iaitu sebanyak RM112.1 juta berbanding RM132.49 juta bagi tempoh sama untuk tahun sebelumnya akibat kesan harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang kekal tinggi pada suku tersebut.

 

nest

 

Firma penyelidikan itu berkata, semasa pandemik COVID-19, Nestle mencatatkan perkembangan jualan dari segmen e-dagang dan ia disokong oleh aktiviti pemasaran secara dalam talian menerusi paltform pihak ketiga.

 

"Berdasarkan perkiraan kami, e-dagang menyumbang sebanyak 5% kepada pendapatan FY21 dan mereka dijangkan meneruskan aktiviti pemasaran di dalam talian.

 

nest

 

"Nestle juga melihat ruangan e-dagang sebagai platform terbaik untuk menguji sama ada pelanggan menggemari produk mereka atau sebaliknya," katanya. 

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham-saham Nestle pada harga sasaran RM135.00 berdasarkan kepada asas perniagaan yang kukuh selain permintaan yang baik terhadap produk keluaran kumpulan itu. - DagangNews.com