KUALA LUMPUR 21 Jun - CGS International menyemak naik penarafan sektor teknologi kepada 'neutral' berbanding 'underwight' didorong keterlihatan potensi kitaran menaik industri semikonduktor.
Katanya, keputusan suku pertama 2024 menyaksikan peningkatan ketara dari tahun ke tahun manakala syarikat di bawah liputan mereka menunjukkan trajektori pertumbuhan positif bagi berbilang tahun.
"Prospek sektor itu dilihat positif didorong permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan, kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan limpahan China+1 serta peningkatan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor menyokong peningkatan prospek industri itu termasuk penggabungan cip yang berkeupayaan AI bagi model baharu boleh menaik taraf telefon pintar.
Katanya, industri pusat data juga menyaksikan peningkatan tempahan, didorong pelaburan yang mempercepatkan dalam pelayan berprestasi tinggi, dibuktikan oleh pertumbuhan hasil kukuh pembekal komponen utama.
"Di peringkat tempatan, Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) baharu menyaksikan sokongan fiskal RM25 bilion yang akan memberi kesan positif kepada pemain semikonduktor tempatan melalui lebih banyak insentif dan limpahan lebih pantas daripada peningkatan pelaburan langsung asing dan strategi China+1.
"Kami percaya pemain industry dan pengeluar peralatan tempatan boleh mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan pembungkusan, pemasangan dan automasi termaju," katanya.
Sementara itu, CGS International berkata, permintaan automotif yang lemah mungkin berterusan dalam separuh kedua tahun ini kerana OEM kenderaan lektrik (EV) utama sedang bergelut dengan pemotongan harga Ketika invesntori semakin meningkat.
Bagaimanapun, mereka melihat China dan OEM EV yang berpangkalan di AS muncul sebagai pemenang mengatasi OEM Eropah, memandangkan tawaran kompetitif, memberi manfaat kepada pemain industri di sepanjang rantaian bekalan seperti Mi Tech dan Genetec. - DagangNews.com