CGS International unjur Econpile jadi penerima manfaat projek pembangunan infrastruktur, pusat data | DagangNews Skip to main content

CGS International unjur Econpile jadi penerima manfaat projek pembangunan infrastruktur, pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - CGS International mengunjurkan Econpile Holdings Bhd menjadi penerima manfaat daripada projek pembangunan infrastruktur baharu dan ledakan pusat data di negara ini.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan anugerah pembinaan akan meningkat pada separuh kedua tahun ini dan dengan margin untung kasar untuk tender akan menjadi lebih tinggi apabila persaingan semakin berkurangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku tender kumpulan itu kini berjumlah RM1 bilion, dengan 90% daripadanya adalah projek hartanah yang mempunyai margin lebih tinggi selain terdapat tiga tender pusat data dengan setiap satu berada dalam lingkungan RM30 juta hingga RM60 juta.

 

CGS International berkata, selain kerja-kerja cerucuk, kumpulan itu juga boleh terlbat dengan pembinaan teras tetapi bukan melibatkan kerja mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

Katanya, buku pesanan kumpulan itu pada Mac 2024 berjumlah RM400 juta. 

 

Kerja-kerja podium Pavilion Damansara Heights Fasa 2 (RM105 juta), projek warisan utama yang telah mengheret margin untung kasarnya sudah berada di penghujungnya.

 

"Melainkan terdapat kemenangan kontrak menjelang akhir Jun 2024, Econpile akan menamatkan FY24 (tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024) dengan kemenangan kontrak RM432 juta, termasuk pesanan variasi RM40 juta bagi kerja naik taraf jalan Cameron Highlands.

 

“Pihak pengurusan tidak menetapkan sebarang sasaran rasmi untuk kemenangan baharu bagi FY25, tetapi percaya sebagai kes asas, ia boleh mencapai jumlah yang sama seperti pada FY24, tanpa penglibatan kontrak Sungai Klang Link dan tambahan dalam projek kerajaan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga diesel baru-baru ini telah menyebabkan harga konkrit meningkat 5% hingga 7% dan Econpile masih dalam rundingan dengan pembekalnya.

 

Ia menjangkakan sedikit kestabilan tidak lama lagi tetapi projek sedia ada dalam buku pesanannya mungkin terjejas. 

 

"Kami menganggarkan bahawa setiap penurunan 1% dalam margin untung kasar FY25 akan mengurangkan keuntungan bersih sebanyak 14%," katanya.

 

CGS International mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 61 sen sesaham. - DagangNews.com