China akhiri 2020 dengan pertumbuhan kukuh  | DagangNews Skip to main content

China akhiri 2020 dengan pertumbuhan kukuh 

 

 

BEIJING 18 Jan. - Ekonomi China berkembang dengan lebih cepat berbanding di luar jangkaan selepas berdepan pandemik COVID-19 yang buruk. 

 

Data Biro Statistik Kebangsaan menunjukkan China merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.5% tahun ke tahun bagi suku keempat 2020, lapor Reuters.  

 

Pertumbuhan ini adalah lebih pantas berbanding 6.1% jangkaan penganalisis sebelum ini dalam kaji selidik Reuters diikuti 4.9% pertumbuhan pada suku ketiga. 

 

Malah, data itu juga menunjukkan ekonomi China tumbuh 2.3% pada 2020 menjadikan ia satu-satunya negara ekonomi utama di dunia yang berjaya menangani penguncupan ekonomi sepanjang tahun lalu pada ketika negara-negara lain bergelut untuk mengawal pandemik COVID-19. 

 

Ahli ekonomi ANZ di Shanghai, Xing Zhaopeng berkata, KDNK yang tinggi itu mencerminkan pertumbuhan berada dalam zon pengembangan walaupun beberapa sektor masih kekal dalam proses pemulihan. 

 

Secara dasarnya, pelaksanaan dasar ransangan dan kaedah mengawal COVID-19 telah menyokong ekonomi China kembali pulih dengan stabil setelah menyusut sehingga 6.8% bagi tempoh 3 bulan pertama 2020, ketika virus itu yang mula dikesan di Wuhan merebak ke seluruh dunia.

 

Pada minggu lalu, data menunjukkan eksport negara itu pada Disember melonjak melebihi jangkaan apabila pandemik itu meningkatkan permintaan bagi produk China dan juga pengukuhan yuan menjadikan barangan eksport lebih mahal.  

 

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi China pada tahun lalu adalah yang paling lemah bagi tempoh lebih 4 dekad apabila pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi di seluruh dunia. 

 

Sumber memberitahu Reuters, secara keseluruhan, data ekonomi yang lebih baik ini akan mengurangkan keperluan monetari tahun ini dan menyebabkan bank pusat mengurangkan beberapa sokongan dasar. 

 

"Tetapi, tidak akan ada perubahan mendadak dalam hala tuju dasar," menurut pembuat dasar tertinggi.  

 

Namun, penganalisis menjangkakan ekonomi China akan mencatat pertumbuhan pada 8.4% pada tahun ini, sebelum menjadi perlahan kepada 5.5% pada 2022. 

 

Kadar pertumbuhan tahun ini diramal paling kukuh dalam tempoh sedekad, didorong oleh lonjakan besar pada suku pertama.

 

Malah, beberapa penganalisis juga bimbang dengan kenaikan semula kes COVID-19 di China yang dilihat akan memberi kesan kepada aktiviti dan penggunaan terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. 

 

China merekodkan lebih daripada 100 kes baharu COVID-19 bagi tempoh 6 hari berturut-turut dengan peningkatan jangkitan di wilayah timur laut sekali gus meningkatkan kebimbangan jika berlaku gelombang baharu pandemik. - DagangNews.com