China jangka jualan automatif cecah 25 juta unit tahun ini | DagangNews Skip to main content

China jangka jualan automatif cecah 25 juta unit tahun ini

 

 

BEIJING 11 Dis. - Jualan kenderaan China dijangka mencecah 25 juta unit tahun ini, lapor Reuters yang memetik sebuah badan perindustrian pada Jumaat. 

 

Sebagai pasaran kenderaan terbesar dunia, China terus menerajui pemulihan dalam industri automatif global daripada paras rendah ketika pandemik COVID-19. 

 

Naib Pengerusi Eksekutif Persatuan Pengeluar Automatif (CAAM), Fu Bingfeng dalam satu persidangan tahunan di Beijing berkata, CAAM menjangkakan jualan tahun ini melebihi 20 juta bagi kenderaan penumpang manakala 5 juta lagi bagi kenderaan komersial termasuk trak dan bas. 

 

Tahun lalu, China menjual 25.77 juta kenderaan. 

 

Pegawai rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Bai Hua berkata, Chian mengunjurkan untuk menjual lebih 1.3 juta kenderaan tenaga baharu (NEV) tahun ini, meningkat daripada 1.2 juta tahun lalu. 

 

Kenderaan NEV ini termasuklah kenderaan bateri yang dijana tenaga elektrik, hibrid elektrik dan bahan api hidrogen.   

 

Malah, menurut Fu, CAAM juga menjangkakan jualan China akan berkembang sederhana tahun hadapan dan mencecah 30 juta unit menjelang 2025.

 

China seolah-olah menjadi sinar harapan kepada pengeluar kenderaan global yang lain termasuk Volkswagen AG dan General Motors Co. selepas industri automatif terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

Di samping itu, pengeluar global seperti Toyota Motor Corp dan Honda Motor Co. Ltd juga menjangkakan keuntungan tinggi ekoran jualan China yang melonjak. - DagangNews.com