China kekal pelabur asing sektor pengilangan terbesar Malaysia - MITI | DagangNews Skip to main content

China kekal pelabur asing sektor pengilangan terbesar Malaysia - MITI


KUALA LUMPUR 20 Okt. - China kekal sebagai pelabur asing terbesar Malaysia dalam sektor pengilangan selama empat tahun berturut-turut sejak 2016.

Pada tempoh enam bulan pertama 2020, Malaysia telah menyaksikan sebanyak 32 pelaburan bernilai AS$452.43 juta dari China. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong (gambar atas) berkata, Malaysia telah meluluskan sebanyak 79 pelaburan asing bernilai AS$3.74 bilion dari negara itu pada tahun lalu. 

“Walaupun ditimpa pandemik COVID-19, namun Malaysia dan China terus menunjukkan jalinan kerjasama yang ikhlas untuk menyokong antara satu sama lain dan menangani cabaran bersama-sama ketika waktu sukar ini.

“Dan saya berharap syarikat elit dari kedua-dua negara dapat terus berkolaborasi dalam sektor seperti data raya ekonomi digital, ekonomi inovatif, serta inovasi pengindustrian dan pertanian moden,” katanya menurut Bernama. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Usahawan Malaysia-China (MDEC) 2020 yang ke-10 secara maya, hari ini. 

Dari segi jumlah dagangan, Ban Hong berkata, dagangan dua hala antara Malaysia dan China bernilai AS$48.47 bilion dari Januari hingga Ogos 2020, manakala pada tahun 2019, ia mencecah AS$76 bilion. 

Bertemakan “A Decade of Excellence in Malaysia-China Cooperation”, persidangan itu dihoskan bersama oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Jabatan Perdagangan Wilayah Fujian serta dianjurkan oleh China Construction Bank (M) Berhad dan Cawangan China Construction Bank Fujian. - DagangNews.com