CIMB berhasrat kembangkan lagi dana pinjaman daripada RM7 bilion sedia ada di Sarawak | DagangNews Skip to main content

CIMB berhasrat kembangkan lagi dana pinjaman daripada RM7 bilion sedia ada di Sarawak

Delegasi CIMB diketuai Datuk Abdul Rahman Ahmad mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching pada 22 Januari 2024. - Gambar UKAS
Oleh Mohamad Iman

KUCHING 22 Jan - CIMB Bank Berhad dalam perancangan meningkatkan jumlah dana pinjamannya untuk rakyat Sarawak dan syarikat-syarikat di Sarawak berikutan permintaan yang tinggi.

 

Perkara itu telah dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sesi kunjungan hormat, hari ini, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

 

“Sekarang pinjaman yang diberikan kepada syarikat dan rakyat Sarawak adalah lebih RM7 bilion.

 

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi aset dan pinjaman yang diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.

 

Abdul Rahman berkata syarikat perniagaan perbankan itu juga bersedia bersama-sama Kerajaan Sarawak untuk membantu membangunkan sektor ekonomi di Sarawak.

 

Katanya, langkah itu bagi mendukung aspirasi Kerajaan Sarawak dalam menjadikan negeri ini berpendapatan tinggi menjelang 2030.

 

“Kita menyentuh pelbagai isu dalam perbincangan bersama Premier bagaimana CIMB boleh membantu merealisasikan aspirasi beliau dalam mengembangkan ekonomi Sarawak.

 

“Kalau kita lihat ketika ini sememangnya ekonomi negeri ini berkembang maju,’ katanya. - DagangNews.com