CIMB berjaya terbitkan RegS/144A SDG Bond pertama di bank Malaysia | DagangNews Skip to main content

CIMB berjaya terbitkan RegS/144A SDG Bond pertama di bank Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jan - CIMB Bank Berhad berjaya menerbitkan RegS/144A Bon Matlamat Pembangunan Lestari (SDG Bond) AS$500 juta (RM2.09 bilion) buat kali pertama di bank Malaysia untuk pasaran modal antarabangsa pada 13 Januari 2022. 

 

Ia juga adalah kali pertama bon 144A ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat (AS) oleh bank Malaysia.

 

Penerbitan bon itu juga mematuhi Rangka Kerja SDG Bond dan Sukuk Kumpulan CIMB dan selaras dengan standard pasaran termasuk Piawaian Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial serta Garis Panduan Bon Kemampanan yang diterbitkan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa.

 

RegS/144A SDG Bond diterima dengan baik dan perubahan global dilihat menjadi semakin pantas ke arah pelaburan mampan dalam kalangan pelabur. 

 

Pihak bank mengambil sejumlah 34% daripada terbitan bon itu manakala 43% dilanggan oleh pengurus dana diikuti 22% oleh firma sekuriti dan baki 1% dilanggan oleh badan korporat.

 

CIM Bank akan menyalurkan SDG Bond itu untuk pelbagai pembiayaan projek seperti perumahan mampu milik, syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekolah awam dan hospital, projek transit massa hijau, bangunan dan infrastruktur berdaya tahan iklim, projek perhutanan dan konservasi haiwan liar dan COVID-19 serta pembiayaan pandemik global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya berbangga dengan transaksi bon berkenaan dan bebangga kerana menjadi bank Malaysia pertama untuk menawarkan bon 144A. 

 

"Ia akan membantu untuk meluarskan pelabur pendapatan tetap kami yang berpangkalan di AS dan pada masa sama menyokong hasrat kami untuk menjadi pemangkin aksi mampan kami di ASEAN.

 

"Sebagai agenda strategik kemampanan CIMB, SDG Bond akan membolehkan kami mempelbagaikan usaha dalam strategi pengumpulan dana dan mengikuti pekembangan pesat dana pelaburan dalam pasaran global.

 

"Perkara ini adalah selaras dengan komitmen kami dalam menyediakan RM30 bilion ke arah kewangan mampan menjelang 2024,” katanya. - DagangNews.com