CIMB Islamic dinobatkan sebagai Bank Islam Global Terbaik 2024 oleh The Banker | DagangNews Skip to main content

CIMB Islamic dinobatkan sebagai Bank Islam Global Terbaik 2024 oleh The Banker

Anugerah itu mengukuhkan lagi kedudukan CIMB Islamic dalam pasaran sejajar dengan rekod prestasi kumpulan dalam merintis cadangan patuh syariah yang inovatif merentasi kedua-dua perbankan runcit dan pelaburan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - CIMB Islamic Bank Bhd telah dinobatkan sebagai Bank Islam Global Terbaik dan Produk Simpanan Islam Paling Inovatif pada anugerah Bank Islam Terbaik 2024 The Banker.

 

Bank itu juga turut merangkul anugerah Bank Islam Terbaik di Malaysia di Undian Bank Terbaik 2023 IFN untuk tahun kelapan berturut-turut.
 

Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukan CIMB Islamic dalam pasaran, sejajar dengan rekod prestasi mereka dalam merintis cadangan patuh syariah yang inovatif merentasi kedua-dua perbankan runcit dan pelaburan, serta sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan pasaran modal Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan itu kerana ia mendukung dasar kepakaran dan kekuatan mereka dalam menyampaikan inovatif patuh syariah kepada semua pelanggan. 

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus berpandukan prinsip pengantaraan berasaskan nilai dan kekal komited mengetengahkan keutamaan pelanggan di samping menjana impak positif terhadap ekonomi, komuniti tempatan dan alam sekitar. 

 

cimb islamic
Ahmad Shahriman Mohd Shariff

 

"Dengan ini, kami menzahirkan penghargaan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan dan kepercayaan terhadap CIMB Islamic selama ini menjadikan tunjang utama untuk kami meraih pengiktirafan yang amat berprestij ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Produk dan perkhidmatan utama yang telah dapat pengiktirafan termasuk CIMB Islamic Daily Unrestricted Investment Account-i (DURIAN-i) yang memenangi kategori anugerah Produk Simpanan Islamik Paling Inovatif. DURIAN-i merupakan akaun Pelaburan berunsurkan kemampanan CIMB yang pertama di mana dana-dana yang terkumpul akan dilaburkan ke dalam aset runcit bank. 

 

CIMB juga telah memperkenalkan rangkaian rumusan kewangan kenderaan elektrik (EV) komprehensif pada tahun lepas, menawarkan kadar tetap dengan proses kelulusan Kewangan Green Lane yang mempercepatkan kelulusan dalam tempoh lapan jam selepas penyerahan permohonan yang lengkap, bersama dengan rebat insurans motor dan perlindungan EV secara percuma. 

 

Kumpulan itu juga melancarkan kad kredit CIMB Petronas Visa Platinum-i dan Infinite-i yang menawarkan rebat tunai yang menarik untuk perbelanjaan pengecasan EV di stesen Petronas dan tempat letak kereta tanpa tunai di seluruh negara. 

 

Pada akhir 2023, kad kredit tersebut telah mencatatkan 33,000 akaun pembukaan dengan baki gabungan sebanyak RM80 juta.

 

Antara pencapaian lain adalah penawaran takaful CIMB Islamic dengan kerjasama Sun Legacy Shield yang merupakan pelan takaful berkaitan pelaburan sumbangan tetap. 

 

Ia adalah bertujuan untuk membantu pelanggan meningkatkan kadar pertumbuhan positif aset mereka, di samping menjamin legasi sepanjang hayat, serta melindungi kesejahteraan ahli keluarga. - DagangNews.com