CIMB kekal berhati-hati terhadap isu global berpanjangan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

CIMB kekal berhati-hati terhadap isu global berpanjangan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kenanga Research mengunjurkan jumlah keseluruhan bantuan bayaran balik pinjaman CIMB Group Holdings Berhad bertambah baik didorong pemulihan secara beransur-ansur beradasarkan kepada kestabilan ekonomi semasa.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan global yang berpanjangan yang dipercayai boleh menjejaskan sektor tertentu terutamanya kumpulan berpendapatan rendah selain perusahaan kecil dan sederhana.

 

"Selain itu, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) mungkin mengurangkan permintaan dan kemampuan pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, CIMB bercadang membantu pengurusannya selain mengemas kini panduan kos kredit 60-70 mata asas (bps) menerusi pembentangan 2QFY22.

 

Katanya, keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada akaun komersial dan pengguna.

 

"Akaun korporat yang besar mungkin tidak terjejas kerana akaun tersebut disediakan dengan secukupnya pada ketika ini," katanya.

 

Firma itu berkata, laporan terbaharu menunjukkan pelaburan Lazada dalam TnG Digital tetapi tiada sebarang maklumat lanjut dikongsi berkaitan dengan kepentingan atau penilaian yang diberikan.

 

"Kami melihat kerjasama antara kedua-dua syarikat ini akan memberi kelebihan kerana ia melibatkan penyertaan langsung ke dalam ruang e-dagang sambil menyemarakkan pergantungan pengguna pada ekosistem TnG Digital," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' untuk CIMB dengan harga sasaran (TP) RM5.70. - DagangNews.com