CIMB, NCIA jalin kerjasama tawar rebat faedah sokong pemulihan PKS | DagangNews Skip to main content

CIMB, NCIA jalin kerjasama tawar rebat faedah sokong pemulihan PKS

Datuk Seri Jebasingam Issace John (kiri) dan Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga dari kanan) bertukar dokumen MoA sambil disaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad menjalin kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk rebat faedah disediakan bagi menyokong pemulihan peniaga kecil dan sederhana (PKS) semasa pandemik yang berterusan.

 

Pada majlis yang berlangsung di Kedah Rubber City, Padang Terap, Kedah semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John bertukar dokumen memorandum perjanjian (MoA) bagi kerjasama tersebut.


 
Pertukaran dokumen tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Menerusi Skim Usahawan CIMB (NCES) di bawah NCIA, PKS yang layak akan mendapat rebat sebanyak 50 peratus daripada jumlah faedah dan keuntungan untuk permohonan mereka kepada Program Pembiayaan Quick Biz CIMB SME. 

 

Inisiatif ini akan menyokong sasaran NCIA sekurang-kurangnya sebanyak 1,000 PKS dan PKS mikro dalam baki tempoh Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu 2022 hingga 2025. 

 

Abdul Rahman berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, wabak COVID-19 telah memberi impak besar ke atas komuniti dan menjejaskan kehidupan ramai. 

 

"Sambil kita melihat ke masa hadapan dan meneruskan laluan ke arah pemulihan, CIMB terus menyokong usaha untuk menggiatkan semula ekonomi kita. 

 

"Kerjasama dengan NCIA adalah antara banyak inisiatif yang kami sediakan untuk mempercepatkan pemulihan, pertumbuhan dan pembangunan PKS dan usaha ini menggariskan cita-cita Forward 23+ kami untuk menjadi sebuah 'Organisasi Didorong Tujuan'," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

NCIA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meliputi empat negeri utara Semenanjung Malaysia merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. 

 

Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk membantu dan menghidupkan semula PKS semasa pandemik, NCIA telah melanjutkan inisiatif rebat mereka kepada institusi kewangan, dengan CIMB sebagai bank baharu.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai program NCES, PKS boleh berhubung dengan Pengurus Perhubungan CIMB atau melawat mana-mana cawangan CIMB Bank atau CIMB Islamic Bank. - DagangNews.com