CIMB teruskan bantuan pelepasan bayaran pinjaman ketika PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

CIMB teruskan bantuan pelepasan bayaran pinjaman ketika PKP 3.0

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) akan meneruskan program bantuan pelepasan pinjaman kepada pelanggan yang terjejas seiring pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh Malaysia. 

 

Bantuan yang diberikan adalah Program Bantuan Pembayaran Bersasar yang Diperluas (Expanded TPA) untuk pelanggan B40 dan perusahaan mikro. 

 

Selain itu, turut disediakan penyusunan dan penjadualan semula pinjaman serta pembiayaan yang berterusan untuk individu M40 dan pelanggan lain yang terjejas.

 

“CIMB mengambil maklum bahawa pelanggan kami terus berdepan kesukaran kewangan dalam persekitaran mencabar ini, dan kami sedia untuk membantu. 

 

“Bank menggesa pelanggan yang memerlukan bantuan untuk menghubungi kami bagi membincangkan pilihan pelepasan kewangan yang bersesuaian. 

 

“Pelanggan tidak perlu bimbang kerana sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan menjejaskan status Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) mereka,” jelas CIMB dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut CIMB, bank telah menyalurkan bantuan pelepasan bayaran balik pinjaman melebihi RM21 bilion setakat pertengahan Mei 2021. 

 

Ini melibatkan sekitar 160,000 peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kadar kelulusan 100%. 

 

Bagi maklumat bantuan, pelanggan boleh menghubungi pusat talian CIMB di +603 6204 7788 atau e-mel kepada [email protected].

 

Bagi PKS pula, mereka boleh menghubungi Pusat Talian Perniagaan CIMB di 1300 888 828 (tempatan) dan +603 2297  3000 (luar negara) bermula Isnin hingga Jumaat pada 7 pagi hingga 7 petang, dan Sabtu pula bermula 8 pagi hingga 5 petang.

 

“Pelanggan korporat dan bukan PKS boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB untuk membincangkan pilihan pembiayaan. Bagi maklumat lanjut, sila layari https://www.cimb.com.my/covid19support,” tambah CIMB. - DagangNews.com