Citaglobal, Masdar jalin kerjasama bangunkan ladang solar fotovoltaik 2GW di Pahang | DagangNews Skip to main content

Citaglobal, Masdar jalin kerjasama bangunkan ladang solar fotovoltaik 2GW di Pahang

MoU ini ditandatangani di Malaysia oleh Ketua Pembangunan dan Pelaburan Masdar, Abdulla Zayed dan Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Citaglobal Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tenaga bersih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), untuk pembangunan ladang solar 2GW (gigawatt) di Pahang.

 

Dalam satu kenyataan media, Citaglobal berkata anak syarikatnya turut terlibat dalam perjanjian tersebut, termasuk Citaglobal Energy Sdn Bhd dan Citaglobal Powergen Sdn Bhd, serta syarikat usaha samanya dengan Genetec Technology Bhd iaitu Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd (CG BESS).

 

MoU tersebut adalah untuk pembangunan pelbagai projek tenaga boleh baharu (RE) membabitkan teknologi solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), angin, dan lain-lain jenis RE di Pahang.

 

Secara khusus, Citaglobal berkata pelaksanaan MoU ini akan membolehkannya menambah baik dan mengukuhkan pembangunan projek Ladang Solar 2GW (di darat dan terapung) di negeri Pahang, untuk memenuhi keperluan RE tempatan dan luar negara.

 

Citaglobal dan Masdar juga akan membincangkan lebih lanjut mengenai penggunaan MYBESS oleh syarikat CG BESS, di fasiliti Masdar seluruh dunia.

 

Perjanjian tersebut berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal untuk tempoh dua tahun selepas itu.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata Masdar telah menerajui, secara komersial, projek-projek tersohor dalam tenaga bersih, pembangunan hartanah lestari dan teknologi bersih di UAE dan di seluruh dunia.

 

"Dengan kerjasama ini, kami akan mencapai kemajuan yang lebih pantas ke arah sasaran iklim kami, selain menjana keperluan tenaga kami dengan bertanggungjawab dan kos efisien," ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi menzahirkan keterujaan syarikat itu untuk bekerjasama dengan Citaglobal Bhd dan mengembangkan kehadiran kami di Asia Tenggara.

 

"Kami akan menerajui projek yang boleh mengurangkan pelepasan karbon di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Asia Tenggara merupakan destinasi pelaburan penting bagi Masdar,” katanya.

 

Masdar aktif di lebih 40 negara di enam benua, dengan komitmen untuk membuat pelaburan bernilai lebih AS$30bil (RM136 bilion), menjana kapasiti tenaga lebih daripada 20 gigawatt (GW) dan mampu mengimbangi 30 juta tan pelepasan CO2 setiap tahun.

 

Pada waktu penulisan, saham Citaglobal susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.37, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM572.1 juta. - DagangNews.com