Citaglobal meterai JDFA dengan pembekal insinerator sisa pepejal terbesar China, SUS Environment | DagangNews Skip to main content

Citaglobal meterai JDFA dengan pembekal insinerator sisa pepejal terbesar China, SUS Environment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Julai - Citaglobal Bhd memeterai perjanjian kerangka pembangunan bersama (JDFA) dengan SUS Holding Limited, sebuah anak syarikat milik penuh syarikat induk Shanghai SUS Environment Co Ltd (SUS Environment), pembekal insinerator sisa pepejal terbesar di negara China dan pemaju terkemuka penyelesaian alam sekitar bersepadu.

 

Dengan JDFA ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam projek-projek sisa kepada tenaga (WtE) di Pahang dan penukaran sisa pertanian seperti tandan kosong kelapa sawit (EFB) dan sisa minyak sawit kepada tenaga biojisim di Malaysia.

 

JDFA ini akan menjayakan matlamat SUS Environment dan Citaglobal untuk mengangani masalah pelupusan sisa di Malaysia, sambil mempromosikan peralihan tenaga bersih. 

 

 

Citaglobal dalam kenyataan berkata, pemeteraian JDFA ini adalah peringkat seterusnya dalam kerjasama antara SUS Environment dan Citaglobal, yang diformalisasi menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada Ekspo China-ASEAN ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN pada 17 September 2023. 

 

norza
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria

 

Katanya, JDFA ini akan digunakan sebagai asas untuk perjanjian pemegang saham untuk syarikat tujuan khas (SPV) 51 (SUS Environment): 49 (Citaglobal) yang akan diperbadankan dalam tempoh enam bulan.

 

"Di bawah JDFA ini, SUS Environment akan menyediakan pelaburan awal dan pembiayaan untuk projek-projek yang telah dikenal pasti. 

 

"SUS Environment juga akan menjalankan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (engineering, procurement, construction and commissioning, EPCC) untuk projek-projek ini. Tambahan pula, SUS Environment akan menjalankan operasi komersial projek-projek tersebut, setelah siap.

 

"Antara tanggungjawab Citaglobal adalah untuk mendapatkan sumber sisa perbandaran (municipal waste) di Pahang, serta EFB dan sisa minyak di Malaysia yang boleh ditukar menjadi elektrik dan seterusnya dijual semula sebagai tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya hari ini. 

 

Citaglobal juga akan memperoleh kelulusan peraturan dan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjaya.

 

"Modal berbayar awal untuk SPV ini yang dicadangkan adalah RM1 juta, di mana RM510,000 oleh SUS Environment dan RM490,000 oleh Citaglobal, tertakluk kepada Rancangan Perniagaan dan Pembangunan yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 

 

"Pelaburan awal ini oleh SUS Environment dan Citaglobal akan digunakan sebagai modal kerja mengikut Rancangan Perniagaan dan Pembangunan tersebut.

 

"SUS Environment adalah syarikat berkaitan kerajaan yang diperbadankan di China. SUS Environment mempunyai pengalaman luas dalam rawatan sisa pepejal bandar, pembinaan taman industri eko, kejuruteraan WtE, perolehan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, dan rawatan sisa pertanian dan perhutanan," jelas kenyataan itu. 

 

Menurut Citaglobal, SUS Environment telah diiktiraf sebagai salah satu daripada "10 syarikat paling berpengaruh" dalam industri sisa pepejal China selama beberapa tahun berturut-turut. 

 

"Dengan rakan niaganya dari Jepun, Hitachi Zosen Corporation, SUS Environment telah membangunkan lebih daripada 1,000 loji WtE di seluruh dunia," ujarnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pengurusan sisa hari ini adalah tentang 'menukar sampah menjadi harta' yang mana sisa boleh menjadi sumber yang berharga apabila diuruskan dengan cekap. 

 

Katanya, pengurusan sisa hari ini bukan lagi sekadar pelupusan, ia melibatkan pengurusan sisa yang efisien, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan memaksimumkan penggunaan sumber.

 

"Dengan SUS Environment, kami akan mengurangkan penjanaan sisa, mempromosikan pemprosesan semula sisa dan memastikan pematuhan dengan peraturan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohamad Norza, 38,000 tan sisa pepejal dikutip setiap hari di Malaysia dan sisa ini dibuang di tapak-tapak pelupusan yang meliputi 150 ekar tanah setiap tahun. 

 

"Kerajaan Malaysia telah sedar bahawa ada keperluan untuk membangunkan sebuah loji WtE di setiap negeri.

 

"Setiap tahun, Malaysia menjana purata 14 juta tan sisa perbandaran. Sisa ini boleh ditukar menjadi bahan api hijau yang berharga. Bahan ini boleh digunakan untuk penjanaan haba dan kuasa dengan sistem pembakaran konvensional, gasifikasi atau pirolisis. 

 

"Dengan menceburi industri WtE bersama SUS Environment, kami akan mengukuhkan lagi keupayaan kami dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui. Ini akan mengembangkan jejak kami dalam pasaran utama ini," katanya.- DagangNews.com