Citaglobal peroleh dua kontrak RM50.9 juta bagi projek infrastruktur KUTS, pembinaan tembok sungai di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Citaglobal peroleh dua kontrak RM50.9 juta bagi projek infrastruktur KUTS, pembinaan tembok sungai di Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Citaglobal Bhd menerusi Citaglobal Powergen Sdn Bhd menerima dua kontrak berasingan bernilai RM50.9 juta bagi projek pembangunan infrastruktur Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan pembinaan tembok sungai di Kuching, Sarawak.

 

Kumpulan itu menerima kontrak bernilai RM31.6 juta daripada Avos (Malaysia) Sdn Bhd bagi cadangan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja infrastruktur untuk laluan Red-Line KUTS dari Kuching Sentral ke Pending. 

 

Bagi kontrak kedua, Citaglobal menerima subkontrak bernilai RM19.3 juta daripada NL Builder Sdn Bhd bagi cadangan pembinaan tembok sungai dari Kampung Lintang ke Kampung Tupong, Kuching.

 

"Kedua-dua kontrak itu adalah bagi tempoh 20 bulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, 31 Disember 2025 dan 31 Disember 2026.

 

Kumpulan itu tidak meramalkan sebarang faktor risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak dan akan mengambil langkah yang perlu bagi mengurangkan risiko apabila ia berlaku. - DagangNews.com