ConocoPhillips dilaporkan mahu tambah operasi minyak di Sarawak   | DagangNews Skip to main content

ConocoPhillips dilaporkan mahu tambah operasi minyak di Sarawak  

KUALA LUMPUR 14 Julai - Pengeluar minyak dan gas Amerika Syarikat (AS), ConocoPhillips dilaporkan bercadang menambah operasinya di Malaysia dengan pembangunan minyak baharu di luar pantai Sarawak, demikian menurut portal upstreamonline.com.

 

Laporan yang memetik sumber itu berkata, ConocoPhillips sudah bersedia untuk bertemu penyedia kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemuatan terapung (FPSO) yang dipajak pada penemuan minyak Salam-Patawali.

 

Malah, katanya, pengendali AS itu akan mencari pelampung bersaiz Aframax.

 

"Pemain FPSO Malaysia seperti Bumi Armada Bhd., MISC Bhd. dan Yinson Holdings Bhd. turut menyatakan minat untuk terlibat dalam projek ini, bersama dengan satu atau dua pemain serantau yang lebih kecil," jelas laporan itu seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini. 

 

Berdasarkan laporan itu lagi, ConocoPhillips dikatakan memihak kepada pilihan pajakan berbilang tahun untuk kemudahan terapung dan juga memerlukan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.

 

Sumber menjangkakan aktiviti tender untuk FPSO akan bermula tidak lama lagi berdasarkan peningkatan momentum projek.

 

Anggaran sebelum ini menunjukkan bahawa FPSO mempunyai kapasiti antara 30,000 hingga 55,000 tong minyak sehari dan keperluan penyimpanan sehingga 600,000 tong.

 

Kemudahan terapung itu juga dikatakan lengkap bagi mengendalikan lebih 100 juta kaki padu sehari gas.

 

Menurut upstreamonline.com, sumber pasaran melaporkan ConocoPhillips baru-baru ini telah menganugerahkan kontrak perkhidmatan kejuruteraan kepada Genesis, dengan penekanan pada aktiviti semasa dan masa depannya dalam aspek dasar laut di Malaysia. - DagangNews.com