Cosmos Technology raih kontrak RM4.23 juta daripada Air Selangor | DagangNews Skip to main content

Cosmos Technology raih kontrak RM4.23 juta daripada Air Selangor

KUALA LUMPUR 3 Mei - Penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu, Cosmos Technology International Bhd, telah memperoleh kontrak RM4.23 juta daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

 

Kontrak yang diterima oleh syarikat tersenarai di Pasaran ACE itu adalah untuk bekalan, penghantaran, pentauliahan dan penyepaduan meter elektromagnet lengkap dengan pengelog data kepada pengendali air terbesar negara tersebut.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Cosmos Technology berkata anak syarikat milik penuhnya Cosmos Instruments Sdn Bhd telah menerima penganugerahan perjanjian rangka kerja oleh Air Selangor pada 14 April.

 

Tempoh kontrak adalah 24 bulan mulai 19 April 2023 dan akan tamat pada 18 April 2025 (Tahun 1 dan Tahun 2), dengan pilihan melanjutkan tempoh kontrak bagi tempoh lanjutan 12 bulan (Tahun 3), tertakluk kepada terma dalam perjanjian rangka kerja.

 

Cosmos Technology berkata jumlah anggaran kontrak perjanjian rangka kerja itu adalah RM3.6 juta untuk Tahun 1 dan Tahun 2, dan RM630,000 untuk Tahun 3.

 

“Perjanjian rangka kerja itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Cosmos dan anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24) dan tahun kewangan selepas itu untuk tempoh perjanjian rangka kerja dan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat itu,” katanya.

 

Kumpulan itu menyatakan bahawa tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi berkaitan dengan perjanjian rangka kerja semasa tempoh kontrak. -DagangNews.com