COVID-19: Fokus kurangkan pengangguran rakyat | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Fokus kurangkan pengangguran rakyat

 

KUALA LUMPUR 20 Julai — Keutamaan kerajaan sekarang ialah mengurangkan kadar pengangguran, memastikan pekerja tempat memperoleh peluang penggajian semula menerusi inisiatif subsidi gaji, latihan semula dan meningkatkan kemahiran, dan menggalakkan aktiviti perniagaan e-dagang dan ekonomi gig.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, walaupun Malaysia mencatat kadar pertumbuhan 0.7% pada suku pertama 2020, prestasi pada suku kedua dan seterusnya akan memberi gambaran sebenar kemerosotan ekonomi global dan impaknya kepada negara ini.

abdul rahim bakri
Abdul Rahim

Menurutnya, memang  terdapat tanda-tanda pemulihan di Malaysia berikutan pelbagai inisiatif fiskal dan intervensi monetari khusus menerusi pakej rangsangan bernilai RM295 bilion.

``Namun, kebimbangan sebenar ialah pada September ini bila tempoh moratorium dianggarkan sebanyak RM100 juta dan fasiliti I-Lestari tamat,’’ katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, sektor runcit adalah lebih aktif terutama untuk perusahaan kecil dan sederhan (PKS) manakala sektor perkhidmatan pelancongan masih teruk terjejas.

``Ini terutama hotel berskala besar yang memerlukan masa lebih panjang untuk pulih kerana ia bergantung kepada ketibaan pelancong asing ke Malaysia,’’ katanya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan akan meneliti setiap cadangan rakyat dan pemegang kepentingan di dalam menyediakan draf Bajet 2012 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada November ini, seterusnya disertakan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, tahun hadapan.

Katanya, kerajaan akan cuba sebaiknya untuk negara dengan menyediakan draf intrumen paling bagus dan pada masa yang sama, memantau kejayaan serta kegagalan negara lain sebagai panduan.

Situasi kecemasan kesihatan berikutan pandemik COVID-19 adalah insident terburuk di dalam sejarah dunia dan impak ekonominya paling merosakkan di dalam tempoh 100 tahun. – DagangNews.com