Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Peningkatan kes COVID-19 secara mengejut memberi risiko terhadap pertumbuhan ekonomi, bagaimanapun kerajaan dilihat cenderung untuk mengelak daripada melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
CGS-CIMB Research berkata, penguatkuasaan PKP kedua bermaksud negara akan berdepan dengan impak ekonomi yang negatif di mana pelaksanaannya sebelum ini telah mengheret Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 17.1%.
“Kami juga menjangkakan langkah penjarakan sosial sebelum ini telah mewujudkan tahap fleksibiliti dalam proses perniagaan yang dapat mengurangkan cabaran sisi penawaran” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Sehubungan itu, pertumbuhan KDNK diunjurkan sebanyak -4% ada tahun ini dan +7.5% pada tahun hadapan.
“Potensi risiko buruk terhadap senario kes asas kami adalah pelaksanaan PKP yang dipertingkatkan secara berpanjangan di negeri yang terjejas dan / atau lonjakan kes COVID-19 baharu di negeri lain yang kurang terjejas,” tambah CGS-CIMB.
Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 432 kes COVID-19 baru dan merupakan hari kelima berturut-turut catatan kes melebihi angka 250.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan PKP walaupun kes COVID-19 mencatatkan peningkatan.
Ini ekoran kes positif yang direkodkan di beberapa negeri masih kecil dan terkawal.
Bagi saham Malaysia pula, CGS-CIMB percaya pasaran akan memperoleh pemulihan pendapatan daripada COVID-19 pada tahun 2021 dan sebarang potensi gangguan akan menjadi negatif.
“Kami mengekalkan sasaran KLCI mencecah paras 1,520. Tiga pilihan teratas CGS-CIMB adalah Malaysian Pacific Industries, Public Bank Berhad dan Tenaga Nasional Berhad,” kata CGS-CIMB.
KLCI menunjukkan prestasi baik dan meningkat 20% sejak pelaksanaan PKP di Malaysia sekali gus menyaksikan lonjakan mendadak saham pengeluar sarung tangan. - DagangNews.com