COVID-19: Pergerakan di Sarawak akan diperketatkan semula | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Pergerakan di Sarawak akan diperketatkan semula

 

KUALA LUMPUR 27 Julai – Penerbangan keluar dan masuk dari Sarawak akan dikurangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berikutan kebimbangan peningkatan semula kes positif COVID-19 di negeri ini.

Langkah lain ialah semua warga Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.

Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan ujian PCR COVID-19 adalah negatif, mereka dibenarkan balik. Arahan ini berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos ini.

Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, arahan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu wajib menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku pengerusi JPBN berkata, tempoh operasi perniagaan juga akan dikurangkan.

uggah
Douglas Uggah

Menurutnya, JPBN akan mengumumkan strategi berkenaan dengan lebih terperinci selepas ia diperhalusi, dalam masa terdekat.

"Mesyuarat khas JPBN yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini, mengambil maklum perkembangan terkini jumlah kes positif COVID-19 di Kuching dan Samarahan.

"Justeru, beberapa tindakan segera harus diambil sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 di Sarawak," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Uggah berkata, dalam usaha mengekang penularan COVID-19 terutama di kawasan panas Kota Sentosa, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pelaksanaan penjejakan kontak atau pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan sempadan daerah Kuching dan Samarahan itu.

Menurutnya, JPBN juga akan melarang pergerakan merentas daerah di Sarawak.

Setakat semalam, Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian akibat COVID-19 menjadikannya kes kematian ke-19 di Sarawak dan yang ke-124 di seluruh negara.

Mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching. – DagangNews.com