COVID-19: Rakyat, Swasta boleh turut menyumbang menerusi Akaun Amanah Bencana | Dagang News Skip to main content

COVID-19: Rakyat, Swasta boleh turut menyumbang menerusi Akaun Amanah Bencana

PUTRAJAYA 5 Jun - Orang ramai dan sektor swasta kini boleh turut sama membantu pemulihan negara dengan menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana.

 

Tabung tersebut ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana, bantuan untuk mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia, kata Kementerian Kewangan di sini.

 

Sumbangan boleh dibuat ke dalam akaun berikut:
Nama Akaun : Akaun Amanah Bencana
Bank : Maybank Islamic Berhad
No. Akaun : 5660 1065 0930

"Selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967, semua sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu mahupun syarikat korporat layak mendapat potongan cukai, dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan (Kew. 38), ataupun dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi," kata kementerian itu lagi.

 

Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

 

Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun-akaun amanah Kerajaan.

 

Kementerian Kewangan berkata, sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu Kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana ini.

 

Pada 31 Mei 2021, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan bahawa gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama 3 bulan mulai Jun 2021 akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

 

Pada 1 Jun 2021, Ketua Setiausaha Negara juga telah mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama 3 bulan mulai Jun 2021 juga akan disumbangkan ke dalam akaun yang sama. - DagangNews.com