Credit Suisse iktiraf status AirAsia sebagai unikorn teknologi digital | DagangNews Skip to main content

Credit Suisse iktiraf status AirAsia sebagai unikorn teknologi digital

 

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Transformasi AirAsia sebagai sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup yang disokong oleh data dan teknologi kini diperakui sebagai satu daripada tiga Unikorn ASEAN yang berpusat di Malaysia, berdasarkan laporan Credit Suisse baru-baru ini.

 

Selain AirAsia, laporan itu juga mengiktiraf Carsome dan Edotco sebagai unikorn teknologi digital di rantau ini.

 

Credit Suisse melaporkan bagaimana ekonomi digital dipacu oleh perubahan struktur dan tingkah laku pengguna berikutan COVID-19 yang telah mempercepatkan proses digitalisasi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, ia adalah bukti kukuh kepada industri ini bahawa strategi kumpulan untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan dalam era digital bukan sahaja berada di landasan yang tepat, malah menjadikan jenama AirAsia sebagai pemain utama dalam sektor e-dagang dan perkhidmatan penghantaran di ASEAN.

 

“Dengan nilai syarikat yang ditaksirkan lebih daripada AS$1 bilion, perniagaan digital kami telah mencapai status Unikorn dalam jangka masa kurang daripada 2 tahun sejak kami mempercepatkan momentum pertumbuhan perniagaan bukan penerbangan kami semasa sekatan perjalanan berikutan pandemik yang melanda.

 

“AirAsia seharusnya tidak lagi hanya dikenali sebagai hanya sebuah syarikat penerbangan. Kini kami adalah kumpulan perkhidmatan digital, meskpun asas kami adalah industri penerbangan.

 

“Kami adalah sebuah syarikat digital sejak penubuhan kami. AirAsia adalah syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang menjual tiket penerbangan dalam talian dan mengendalikan pembayaran digital untuk berjuta-juta pengguna dalam talian buat pertama kali pada 20 tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AirAsia kini menawarkan lebih banyak perkhidmatan, seperti airasia Super App sendiri dengan lebih daripada 15 tawaran perjalanan dan gaya hidup berbeza yang melengkapi satu sama lain, serta cabang teknologi pendidikan yang terus berkembang iaitu airasia Academy. 

 

Kumpulan juga mempunyai cabang kargo dan logistik yang semakin berkembang iaitu Teleport serta perniagaan perkhidmatan kewangan BigPay yang menawarkan penyelesaian teknologi kewangan yang mantap dan bakal menjadi bank maya pertama di rantau ini.

 

Fernandes berkata, apa yang membezakan AirAsia daripada pesaing lain di arena digital adalah data berkualiti mengenai pelanggan yang dibina selama lebih 20 tahun, jenama dikenali ramai yang memberi pengalaman luar biasa kepada dan ganjaran hebat kepada pelanggan. 

 

Dengan kelebihan ini, katanya, mereka tidak perlu bermula daripada sifar dan mempunyai kelebihan perkhidmatan dan pelanggan sedia ada yang selari dengan teras utama kami untuk sentiasa memberikan nilai yang terbaik.

 

“Saya amat yakin dengan strategi kami bahawa kami tidak memerlukan pelaburan besar untuk mencipta sesuatu dari awal seperti syarikat lain dan bahawa pasukan saya dapat memberikan perkhidmatan terkemuka di dalam industri dengan kos yang lebih rendah. 

 

“Malah, saya yakin dan percaya kami akan menjadi pemain utama dalam ekonomi digital di ASEAN," katanya. - DagangNews.com