Crescendo lupus 7 tanah berharga RM117.02 juta kepada STT GDC Malaysia | DagangNews Skip to main content

Crescendo lupus 7 tanah berharga RM117.02 juta kepada STT GDC Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Crescendo Corporation Berhad (CCB) menerusi anak syarikatnya, Panoramic Industrial Development Sdn Bhd (PID) memeterai dua perjanjian jual beli bersyarat bagi melupuskan tujuh bidang tanah kepada STT GDC Malaysia 2 Sdn. Bhd. dengan nilai gabungan sebanyak RM117.02 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tujuh bidang tanah seluas 90,596.5 meter persegi itu merupakan sebahagian daripada pembangunan induk yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Nusa Cemerlang (NCIP) iaitu sebuah taman perindustrian ringan dan sederhana yang sedang dibangunkan oleh PID.

 

Kesemua tanah tersebut berada di dalam mukim Pulai, Johor Bahru.

 

"Tanah itu hendaklah digunakan sebagai kawasan perindustrian ringan dan sederhana bagi tujuan komersial dan kegunaan lain yang berkaitan, untuk dibina mengikut pelan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan selain semua dasar serta syarat seperti yang dikenakan perlu dipatuhi.

 

"Tanah itu tidak boleh dijual atau dipindah milik dengan apa cara sekalipun kepada syarikat asing tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri," katanya.

 

CCB dijangka mencatatkan keuntungan disatukan selepas cukai kira-kira RM70.01 juta daripada urus niaga itu.

 

Katanya, hasil jualan itu dijangka digunakan dalam tempoh tiga bulan dari selesai pelupusan ke arah pembangunan baki simpanan tanah milik kumpulan itu, untuk modal kerja dan penyelesaian liabiliti sedia ada.

 

Pelupusan tersebut tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar dan pegangan saham pemegang saham besar CCB kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham CCB.

 

Pelupusan tanah itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham CCB. - DagangNews.com