CRESS diperkenal mulai Sept 2024 bagi tingkatkan akses korporat kepada RE - PETRA | DagangNews Skip to main content

CRESS diperkenal mulai Sept 2024 bagi tingkatkan akses korporat kepada RE - PETRA

PETRA bakal perkenal CRESS pada September 2024 bagi tingkatkan akses RE kepada syarikat. -Gambar hiasan Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kerajaan akan memperkenalkan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) mulai September 2024 bagi meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau. 

 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, melalui konsep akses grid terbuka, akses pihak ketiga (TPA) boleh menjual atau membeli bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan.

 

"Pengenalan program CRESS ini adalah sebahagian daripada usaha PETRA di Bawah Inisiatif GREENS MADANI  bertujuan untuk menyokong hasrat peralihan tenaga sektor berkeutamaan tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut kementerian itu, syarikat korporat di Malaysia perlu diberi pilihan untuk mengurangkan jejak karbon melalui bekalan elektrik hijau. 

 

Buat masa ini, katanya, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau dengan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo), membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (RE) melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS), atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET).

 

"Pada 31 Ogos 2022, Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk membantu syarikat mencapai komitmen ESG melalui pembelian elektrik hijau secara maya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Program CGPP dijangka wujudkan peluang pekerjaan EPCC bernilai sehingga RM1.6 bilion, kata Affin Hwang

 

"Di bawah program CRESS, penjana RE dan syarikat korporat yang layak boleh membuat aturan bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada. 

 

"Syarikat korporat boleh mendapatkan elektrik RE secara langsung daripada penjana RE TPA yang dikenal pasti. Penjana TBB TPA juga boleh membekalkan elektrik TBB kepada pengguna korporat melalui rangkaian grid TNB dengan menyertai pasaran NEDA," jelasnya.

 

Kata kenyataan itu, pelaksanaan CRESS ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) manakala, Single Buyer (SB) dan Grid System Operator (GSO) akan berperanan sebagai pengendali pasaran dan sistem. 

 

"Kedua-dua entiti ini akan mengendalikan aspek penyelarasan "access and dispatch" dalam sistem bekalan elektrik berdasarkan ketetapan regulatori yang dipersetujui Kerajaan. 

 

"TNB pula akan terus memainkan peranan sebagai pembekal elektrik utiliti yang akan menyalurkan bekalan elektrik yang telah dijana dan diperlukan kepada pengguna secara konsisten di dalam dan di luar tempoh waktu pembekalan elektrik hijau.

 

"Beberapa siri penerangan berkaitan prosedur dan garis panduan kepada pemain industri akan diadakan oleh Suruhanjaya Tenaga," ujarnya.

 

Kata kementerian itu, antara syarat umum penyertaan CRESS adalah dibuka kepada penjana RE baharu untuk pelbagai sumber RE yang disambung ke peringkat voltan tinggi (HV) dan pengguna baharu atau sedia ada TNB dari kategori komersial dan industri peringkat voltan sederhana dan tinggi dengan permintaan bekalan elektrik tambahan atau baharu.

 

"Penyambungan antara penjana RE dan pengguna hijau perlu dilakukan secara penyambungan langsung melalui sistem rangkaian grid bagi memastikan perancangan bekalan elektrik yang menyeluruh.

 

"Had penyambungan kepada sistem grid bekalan elektrik adalah berdasarkan dapatan Kajian Sistem Kuasa atau Power System Study (PSS).

 

"Ouput bekalan elektrik dijana penjana RE perlu berbentuk firm bagi meningkatkan daya harap, kestabilan sistem dan meminimumkan gangguan kepada sistem pembekalan dan opsyen akan diberikan kepada penjana RE untuk tidak menghasilkan output yang berbentuk firm dengan kadar bayaran caj akses sistem (CAS) yang lebih tinggi," jelasnya. - DagangNews.com