KUALA LUMPUR 7 Okt. - Crest Builder Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Crest Builder Sdn. Bhd. meraih kontrak daripada Allevia Sdn. Bhd. bernilai RM192.07 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Crest Builder berkata, kontrak tersebut membabitkan pelaksanaan dan penyempurnaan 2 blok kondominium beserta podium letak kereta di Jalan Kiara, Mukim Batu, Kuala Lumpur.
"Tempoh kontrak ini seperti dalam surat penerimaan adalah selama 35 bulan mulai 1 Disember 2021 hingga 31 Oktober 2024," katanya.
Menurutnya, kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap saham modal berbayar dan terbitan Crest Builder serta pemegangan saham utama kumpulan.
Perolehan kontrak itu bagaimanapun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya. - DagangNews.com