Critical Holdings meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Investment bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Critical Holdings meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Investment bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Ir Tan Si Lim (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Datuk Dominic Silva selepas memeterai perjanjian taja jamin antara Critical Holdings dan MIDF Investment bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Critical Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Berhad bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Kumpulan itu bersama anak syarikatnya menyediakan rumusan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan proses (MEP) serta penyelenggaraan selain perkhidmatan MEP bagi kemudahan loji, bilik bersih dan pusat data.

 

Pasaran pengguna akhir yang dilayaninya ialah sektor pembuatan semikonduktor, farmaseutikal, panel solar fotovoltaik serta pusat data, perkhidmatan lokasi bersama, telekomunikasi, hotel dan sektor kemudahan perubatan.

 

IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 74,348,000 saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk penjualan 37,173,900 saham biasa sedia ada syarikat. 

 

Daripada 74,348,000 saham terbitan, 18,587,000 akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian manakala 3,717,400 diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak.

 

Sejumlah 46,467 akan diterbitkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan baki 5,576,200 diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Hasil daripada IPO akan digunakan bagi penubuhan pejabat wilayah baharu, pengembangan pasukan jualan dan teknikal, membiayai perbelanjaan modal, menambah keperluan modal kerja dan membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Bagi menyokong pertumbuhan operasi perniagaan sedia ada, kumpulan itu merancang mengembangkan pasukan jualan dan teknikalnya dengan mendapatkan kakitangan tambahan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Critical Holdings, Ir. Tan Si Lim berkata, IPO itu akan menyediakan pembiayaan dan membolehkan orang ramai menjadi sebagaian daripada perkembangan kumpulan pada masa hadapan.

 

"Kami berhasrat meningkatkan kehadiran dalam reka bentuk MEP dan penyelesaian kejuruteraan dalam pelbagai industri selain mengembangkan lagi kapasiti bagi pelaksanaan projek rumusan kejuruteraan MEP selain mematuhi piawaian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Investment, Datuk Dominic Silva berkata, IPO syarikat itu menyediakan bukan sahaja prospek pembangunan jangka panjang yang menarik tetapi juga menandakan permulaan fasa baharu pertumbuhan disokong oleh asas modal, penawaran produk dan perkhidmatan yang berdaya tahan.

 

MIDF Investment merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO kumpulan itu. - DagangNews.com