CTOS berhak terbit skor kredit, Mahkamah Rayuan ketepikan saman pengusaha resort | DagangNews Skip to main content

CTOS berhak terbit skor kredit, Mahkamah Rayuan ketepikan saman pengusaha resort

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Julai - Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan CTOS Data System Sdn Bhd (CDS) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan syarikat itu tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merumuskan skor kredit seseorang untuk pelanggannya. 

 

CTOS Digital Berhad dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, selepas mendengar hujahan dariada anak syarikatnya selaku perayu dan Suriati Mohd Yusof (Responden/Plaintif), Mahkamah Rayuan telah membenarkan Rayuan oleh CDS dengan kos sebanyak RM65,000.

 

Katanya, panel hakim Mahkamah Rayuan secara sebulat suara memutuskan yang Suriati tidak berjaya membuktikan kes fitnah, kecuaian atau pelanggaran tugas statutori terhadap CDS.

 

Menurut CTOS, panel hakim memutuskan yang Agensi Laporan Kredit tidak mempunyai kewajipan untuk berhati-hati dalam undang-undang am.

 

"Agensi Laporan Kredit juga boleh menyusun dan menerbitkan skor kredit sebagai sebahagian daripada perniagaan pelaporan kredit mereka mengikut peruntukan Akta Agensi Laporan Kredit 2010 (CRAA 2010)," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Sehubungan itu, kata CTOS, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Februari 2024 telah dibatalkan.

 

"Mahkamah Rayuan juga menolak Rayuan Silang oleh Plaintif," jelas CTOS dalam pemakluman itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan CTOS ambil kira skor kredit adalah sebahagian komponen laporan MyCTOS

 

Pada 7 Februari lalu, CDS diarah membayar pampasan RM200,000 kepada pengarah sebuah resort susulan penarafan kredit yang tidak tepat.

 

Selain pampasan kepada plaintif, unit CTOS Digital Berhad itu juga didapati tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merumuskan skor kredit seseorang untuk pelanggannya. 

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya berkata, tiada peruntukan di dalam CRAA 2010 yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kredit kerana mereka hanya diberi kuasa sebagai penyimpan maklumat kredit yang boleh diakses pelanggannya.

 

Hakim itu berkata, peranan utama CTOS ialah mengumpul, merekod dan menyimpan maklumat yang diterima serta diberikan kuasa untuk menyebarkan maklumat tersebut kepada pelanggannya termasuk institusi kewangan.


 
Memetik laporan media, Mahkamah Tinggi juga mendapati CTOS telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap Suriati Mohd Yusof, 43, dan melangkaui fungsi-fungsi ia didaftarkan.- DagangNews.com