KUALA TERENGGANU 8 Sept - Musim cuti persekolahan yang bermula sejak Jumaat lalu memberi limpahan rezeki buat semua peniaga terutama di destinasi pelancongan terkemuka di seluruh negara.
Di Terengganu, Pasar Kedai Payang adalah antara nadi utama ekonomi negeri yang menjadi tumpuan pelancong kerana keunikan pasar tersebut menjual 1,001 jenis produk warisan, seni, budaya dan kraftangan kebanggaan rakyatnya.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Shukri Abdullah berkata, cuti sekolah memang sangat dinanti-nantikan oleh 825 peniaga di situ kerana ia peluang keemasan untuk mendapat durian runtuh hasil jualan hingga tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa.
"Alhamdulillah di sebalik kerisauan ramai dengan kemelesetan ekonomi sejak akhir-akhir ini, Pasar Kedai Payang masih menjadi tumpuan ramai pelancong dari seluruh negara dengan anggaran 5,000 orang setiap hari.
"Selain harga yang sangat berpatutan, pelancong boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan yang cantik, unik dan menarik sebagai cenderahati untuk diberi kepada saudara mara dan sahabat handai untuk kenangan bercuti ke Terengganu.
"Kebanyakan peniaga di sini memang tersenyum lebar dan tak menang tangan melayan pelanggan yang datang....ada yang meraih jualan hingga RM8,000 setiap hari sepanjang musim cuti persekolahan ini," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.
Pasar yang menjadi ikon kebanggaan rakyat Terengganu itu kini beroperasi di bangunan sementara kerana projek naik taraf Pasar Besar Kedai Payang yang terletak berhampiran masih dalam proses pembinaan.
Beberapa peniaga yang ditemui mengakui mereka bersyukur dengan limpahan rezeki yang diperoleh ketika ini kerana keuntungan itu dapat digunakan untuk kelangsungan perniagaan yang lama terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
Peniaga, Hazwani Mat Zin, 35, berkata jualan keropok keping dan makanan tradisional Terengganu di gerainya melonjak lebih RM7,000 setiap hari terutama pada waktu puncak hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ketika musim cuti sekolah kali ini.
"Kedatangan pelancong ke Pasar Kedai Payang kali ini agak luar biasa, mungkin mahu mengambil kesempatan datang ke Terengganu sebelum musim tengkujuh tidak lama lagi.
"Kebanyakannya memborong keropok keping dalam jumlah yang banyak untuk dijadikan stok makanan kudapan serta ole-ole dari Terengganu," katanya yang merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan itu dari datuk neneknya.
Tinjauan mendapati antara barang yang terlaris di pasar pelancongan itu ialah kain batik sarung, songket, batik sutera dan kaftan serta kraftangan Malaysia seperti tembaga, keris, produk berasaskan rotan, perkakas memasak tradisional dan patung penyu.
Seorang lagi peniaga, Natasha Zainal, 25, berkata hasil jualan patung penyu yang berharga antara RM5 hingga RM70 turut meningkat tiga kali ganda sejak Jumaat lepas kerana ramai pelancong membelinya.
"Baru-baru ini ada tular beberapa video dan foto di Facebook telatah pemilik motosikal RXZ menggalas patung penyu di belakang mereka dalam perjalanan pulang dari Terengganu.
"Sejak itu, tidak putus-putus orang membeli patung penyu kerana ia adalah ikon kebanggaan rakyat Terengganu dan memilikinya juga adalah tanda penghargaan kepada haiwan yang diancam kepupusan itu.
"Ramai juga yang membuat pembelian berulang dengan membuat tempahan melalui WhatsApp atau Facebook dari seluruh negara," katanya. - DagangNews.com