KUALA LUMPUR 3 Mei - Ringgit memulakan dagangan minggu pertama Mei dengan dibuka lemah pada RM4.0990/1030 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada Jumaat, ringgit ditutup pada RM4.0870/0930 lebih tinggi berbanding RM4.1000/1050 pada Rabu berikutan pengukuhan harga minyak mentah.
HLIB Research menjangkakan dagangan neutral dan sedikit mengukuh bagi ringgit dengan mengambil kira penurunan dalam dolar AS.
Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu depan dilihat akan terus menyokong ringgit.
"Kami melihat dolar AS akan mengalami sedikit penurunan minggu ini memandangkan sentimen semakin beransur pulih dengan risiko utama bergantung kepada gelombang baharu COVID-19.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan julat dagangan minggu ini pada RM4.09 hingga RM4.12 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sementara itu, dalam laporan aliran dana kewangan mingguan, MIDF berkata, bagi minggu berakhir 30 April, pengukuhan ringgit menjejaki pergerakan harga minyak mentah global.
Pada minggu berkenaan, ringgit mengukuh 0.5% untuk ditutup kepada RM4.088 berbanding dolar AS, daripada RM4.109 bagi minggu sebelumnya.
"Di sebalik permintaan kukuh bagi dolar AS, pengukuhan ringgit sejajar dengan kenaikan harga minyak mentah dengan Brent menokok 1.7% dan mengakhiri dagangan minggu itu pada AS$67.25 setong," katanya. - DagangNews.com