Dagangan Malaysia 2020 RM1.8 trilion | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia 2020 RM1.8 trilion

Dagangan Malaysia 2020 RM1.8 trilion

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Malaysia mencatatkan jumlah dagangan keseluruhan bagi tahun 2020 sebanyak RM1.8 trilion.

 

Jumlah itu disumbangkan eksport dan import negara pada Disember yang menunjukkan prestasi peningkatan tertinggi sepanjang 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada Disember 2020 berkembang 10.8% kepada RM95.7 bilion berbanding  RM86.4 bilion pada Disember 2019.

 

"Nilai yang dicatatkan pada Disember itu adalah tertinggi yang pernah dicatatkan pada tahun 2020. Ini juga merupakan nilai eksport kedua tertinggi yang dicatatkan, setelah RM97.1 bilion pada Oktober 2018. 

 

"Setelah penurunan selama sembilan bulan berturut-turut, import kembali  meningkat mencatat pertumbuhan 1.6% kepada RM75.0 bilion," katanya dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, bagi tempoh Disember 2020 hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

Tambah beliau, peningkatan eksport disokong oleh eksport semula dan eksport  domestik. 

 

Eksport  semula  berjumlah  RM17.6 bilion menyumbang 18.4% kepada jumlah eksport, meningkat 22.9%.

 

Sementara itu, eksport domestik pula bernilai RM78.1 bilion dengan meningkat 8.3% tahun ke tahun. 

 

Lebihan dagangan mencatatkan peningkatan 64.9% kepada RM20.7 bilion tahun ke tahun. 

 

Jumlah dagangan pada Disember 2020, berjumlah RM170.8 bilion meningkat 6.5% berbanding Disember 2019.

 

"Peningkatan dalam eksport didorong oleh  eksport  yang  lebih  tinggi  ke  Singapura  (+RM2.2  bilion),  China (+RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.7 bilion), India (+RM1.62 bilion), Hong Kong (+RM1.60 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM988.1 juta). 

 

"Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (+RM2.1  bilion),  India  (+RM772.9  juta),  Hong  Kong (+RM518.7 juta) dan Taiwan (+RM466.0 juta)," jelasnya.

 

.

 

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM5.6 bilion); keluaran getah (+RM3.0 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM2.6 bilion). 

 

Sementara  itu, kenaikan import dicatatkan bagi elektrik dan elektronik (+RM2.7 bilion) dan kimia dan bahan kimia (+RM734.7 juta).

 

Eksport untuk suku keempat 2020 juga meningkat 5.1% daripada RM258.2 bilion pada tempoh sama 2019 kepada RM271.5 bilion. 

 

Bagaimanapun, import pada suku keempat 2020 menyusut 4.5% daripada RM221.4 bilion pada tempoh sama 2019 kepada RM211.6 bilion, menghasilkan lebihan dagangan RM483.0 bilion (+0.7°4). 

 

Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia pada suku keempat 2020 kembali meningkat 0.7% kepada RM483.0 bilion daripada penurunan 0.5% pada suku ketiga 2020.

 

“Seiring dengan permintaan global yang lebih lemah dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberansangkan kerana COVID-19, jumlah eksport Malaysia pada 2020 menyusut 1.4% kepada RM981.0 bilion, berbanding tahun sebelumnya sementara import menurun 6.3% atau RM53.2 bilion kepada RM796.2 bilion.

 

"Jumlah dagangan pada 2020 mencapai RM1.8 trilion, menyusut 3.6% tahun ke tahun. 

 

"Sementara  itu, lebihan dagangan meningkat 26.9% kepada RM184.8 bilion, lebihan dagangan terbesar yang pernah dicatatkan setakat ini," katanya. - DagangNews.com