KUALA LUMPUR 14 Feb - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PKNP dan Perak Corp diperintahkan untuk membayar sebanyak RM3.56 juta oleh Mahkamah Tinggi setelah mendapati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan tuntutan terhadap saman sivil dagangan orang dalam yang difailkan pada 2021 ke atas Dato' Aminuddin Md Desa, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perak Corporation Bhd (PCB).
Hakim Mahkamah Tinggi Wan Muhammad Amin bin Wan Yahya memerintahkan Dato’ Aminuddin membayar sebanyak RM2.46 juta kepada SC, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada pelanggaran dagangan orang dalam.
Dato’ Aminuddin juga dikehendaki membayar kepada SC penalti sivil sebanyak RM1 juta dan kos sebanyak RM100,000.
Dato' Aminuddin melanggar seksyen 188(2)(a) dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dengan memperoleh 1,412,700 saham PCB antara Oktober 2013 dan Januari 2014 semasa dalam pemilikan maklumat dalaman.
"Maklumat dalaman tersebut adalah mengenai cadangan penswastaan PCB oleh PKNP," kata SC dalam kenyataan pada Selasa.
Di samping itu, Mahkamah Tinggi melarang Dato' Aminuddin daripada dilantik sebagai ketua pengarah eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan syarikat tersenarai awam (PLC) dan/atau anak syarikat PLC, selama lima tahun bermula dari keputusan mahkamah pada 13 Februari 2024.
Beliau juga dihalang daripada melakukan sebarang aktiviti dagangan dalam mana-mana sekuriti di Bursa Malaysia selama lima tahun bermula daripada tarikh penghakiman mahkamah pada 13 Februari 2024.
"Dagangan orang dalam adalah salah laku yang serius dalam pasaran modal.
"Penguatkuasaan berterusan oleh SC menggariskan komitmennya untuk menangani salah laku dalam menyalahgunakan integriti pasaran modal," kata suruhanjaya tersebut. - DagangNews.com