KUALA LUMPUR 10 Dis. - Malaysia dan Thailand menyaksikan perdagangan sempadan antara kedua-dua negara menyusut 14.67% kepada 198.65 bilion baht dalam tempoh sepuluh bulan pertama.
Ini didorong oleh penutupan sempadan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 sekali gus menjejaskan aktiviti perdagangan negara-negara tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Thailand, Keerati Rushchano berkata, perdagangan sempadan negaranya dengan Malaysia, Myanmar, Laos dan Kemboja merudum 9.87% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kesemua perdagangan itu bernilai 623.22 bilion baht.
“Malaysia merupakan rakan perdagangan sempadan terbesar Thailand.
“Eksport ke Malaysia jatuh 8.33% kepada 97.54 bilion baht, manakala import merosot 20.21% kepada 101.11 billion baht, menyebabkan defisit perdagangan sebanyak 3.57 bilion baht,” katanya menurut laporan Bernama.
Eksport Thailand ke empat negara jirannya menurun 8.94% kepada 365.25 bilion baht, manakala import menyusut 11.55% kepada 258.44 bilion baht pada tempoh sama.
Tambah Keerati, perdagangan rentas sempadan Thailand termasuk transit bernilai 1.08 trilion baht, jatuh 4.11% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ujarnya, nilai eksport merudum 4.32% kepada 626.4 bilion baht, manakala nilai import pula jatuh 3.81% kepada 455.18 bilion baht.
Ini menyebabkan terdapat lebihan dagangan sebanyak 171.22 bilion baht.
Setakat 26 November lalu, Thailand telah membuka sebanyak 37 daripada 97 pintu masuk sempadan. - DagangNews.com