Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menubuhkan Penjana Kapital Sdn. Bhd. khas untuk menguruskan Dana Penjana Nasional dengan lebih berkesan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Penjana Kapital bakal ditadbir urus oleh lembaga pengarah khas dan panel pelaburan yang dilantik bagi memastikan ketelusan serta mengagihkan dana berkenaan.
Lembaga pengarah tersebut terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, pemain industri serta sektor swasta dan agensi berkaitan.
“Pelabur yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka kepada Penjana Kapital yang dibuka sehingga September 2020,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Dana Penjana Nasional hari ini.
Pada Jun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion di bawah penubuhan Dana Penjana Nasional sebagai usaha memacu pemulihan ekonomi yang dilaksanakan menerusi pendigitalan bisnes.
Dana Penjana Nasional berpotensi menarik pelaburan modal swasta asing memandangkan ia menerapkan konsep kerjasama awam-swasta.
Pembiayaan dana tersebut akan disediakan oleh dana modal teroka, tempatan dan asing serta kerajaan akan memadankan kesemuanya bagi asas 1:1 hanya selepas mereka melakukan pembiayaan.
Setakat ini, Penjana Kapital masih menerima permohonan dana dan keputusan akan dibuat selepas penilaian dimuktamadkan oleh syarikat berkenaan.
Antara pelabur yang berminat termasuk dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
“Meskipun pelabur institusi asing dan tempatan masih optimis dengan pasaran swasta Malaysia, namun kita perlu memastikannya berkembang secara konsisten,” tambah Tengku Zafrul. - DagangNews.com