DAP janji 42 wakil rakyatnya tidak akan undi tidak percaya jika Parlimen bersidang khas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

DAP janji 42 wakil rakyatnya tidak akan undi tidak percaya jika Parlimen bersidang khas COVID-19

 

KUALA LUMPUR 21 Mei – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP memberi jaminan 42 Ahli Parlimen parti itu tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jika mengadakan sidang Parlimen khusus mengenai COVID-19.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jaminan itu bagi membolehkan Parlimen hanya membincangkan mengenai langkah pencegahan COVID-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan.

 

Menurutnya, Sultan Johor telah mencadangkan satu mesyuarat bagi semua Ahli Parlimen, ADUN Johor dan Kerajaan Negeri Johor untuk berjumpa dan membincangkan bersama mengenai langkah pencegahan COVID-19, sebagai alternatif kepada penggantungan Parlimen.

 

Beliau berkata, pendekatan keseluruhan kerajaan atau keseluruhan rakyat oleh Sultan Johor ini lebih baik daripada kegagalan Kerajaan PN sekarang yang asyik tersandung daripada dari satu kesilapan dasar dan pusingan-U SOP ke yang berikutnya.

 

“PN harus memanggil Parlimen untuk sidang tergempar, sama seperti yang telah dilakukan oleh Johor.

 

“Bagi meredakan ketakutan politik melampau Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sekiranya Parlimen segera bersidang, DAP memberi jaminan bahawa 42 Ahli Parlimen DAP tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadapnya.

 

“Tetapi hanya akan membincangkan mengenai langkah pencegahan COVID-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Guan Eng yang merupakan bekas Menteri Kewangan semasa pentadbiran Pakatan Harapan berkata, kerajaan PN perlu menjelaskan mengenai dana langsung COVID-19 RM60 bilion sejak tahun lalu ini tidak termasuk RM567 bilion yang diperuntukkan untuk usaha memulihkan ekonomi,.

 

“Dana banyak itu telah gagal mengeluarkan negara dari kemelesetan ekonomi dengan kadar pertumbuhan negatif selama empat suku tahun berturut-turut.

 

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana semua dana ini dibelanjakan ketika rakyat tidak mendapat atau merasakan manfaat daripada RM627 bilion dana kerajaan sejak tahun lalu,” kata beliau. – DagangNews.com