Dapat kelulusan pinjaman RM500 juta, kini AirAsia mampu 'terbang' lebih tinggi  | DagangNews Skip to main content

Dapat kelulusan pinjaman RM500 juta, kini AirAsia mampu 'terbang' lebih tinggi 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Usaha pengumpulan dana yang digerakkan AirAsia Group Bhd. kini berada dalam landasan tepat bagi memastikan kumpulan syarikat penerbangan itu memiliki kecairan mencukupi untuk membolehkannya terus beroperasi. 

 

Semalam, AirAsia menerima kelulusan oleh Danajamin Nasional Bhd. (Danajamin) untuk 80% pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.

 

Skim itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik COVID-19.

 

Menurut Public Investment Bank Research, kelulusan kerajaan itu amat dialu-alukan bagi merangsang keseluruhan strategi pengumpulan dana AirAsia untuk memenuhi keperluan aliran tunai. 

 

Katanya, seiring dengan terbitan hak boleh ditolak hingga RM1 bilion, yang dijangka selesai pada Disember ini, kumpulan akan mempunyai kecairan dan modal kerja mencukupi untuk meningkatkan operasinya apabila sempadan negara dan antarabangsa dibuka semula dalam waktu terdekat.
 

"Namun begitu, kami juga memahami bahawa kumpulan terus meneroka pelbagai pilihan pendanaan atau langkah korporat dalam memastikan kecairannya cukup sekali gus memperkukuhkan struktur modal," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan unjuran terhadap AirAsia dan mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran 86 sen setakat ini. 

 

 

Baca : AirAsia terima kelulusan Danajamin untuk pembiayaan sehingga RM500 juta

 

 

Pinjaman berkenaan diluluskan oleh pemberi pinjaman AirAsia di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket, dengan jaminan oleh Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan.

 

Pembiayaan diperuntukkan untuk modal kerja, yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat dalam persediaan AirAsia meningkatkan operasinya sempena pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa dalam waktu terdekat.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, AirAsia telah menyaksikan tempahan tempat duduk yang kukuh selepas kerajaan mengumumkan gelembung pelancongan di Langkawi dan berjaya menjual lebih 260,000 kerusi dalam tempoh seminggu lebih. 

 

"Oleh itu, kami positif dengan perkembangan ini kerana perjalanan domestik dan antarabangsa akan kembali pulih terutama apabila kadar vaksinasi dewasa mencapai 90% dengan sempadan negara dijangka dibuka Disember ini.

 

"Namun begitu, kami masih mengekalkan pandangan bahawa penilaian semasa adalah melebihi daripada apa yang anggap adil, justeru, mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham AirAsia dengan harga sasaran tidak berubah pada 77 sen," jelasnya.

 

Setakat 9.33 pagi ini, saham AirAsia menokok 3 sen atau 2.68% kepada RM1.15 dengan 7.09 juta saham diniagakan. - DagangNews.com