Dapat tangani masalah tadbir urus Felda-FGV | DagangNews Skip to main content

Dapat tangani masalah tadbir urus Felda-FGV

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Cadangan pengambilalihan FGV Holdings Bhd. dilihat sebagai kejayaan kepada perjuangan warga peneroka yang selama ini mahu syarikat perladangan itu kembali ke pangkuan Felda. 

 

Apatah lagi, FGV dilihat seolah-olah 'lari' daripada matlamat asal ia disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012. 

Sulong Jamil Mohamed Shariff
Sulong Jamil Mohamed Shariff

 

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, warga peneroka menerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JPP) sejak 2016 telah membuat rayuan kepada kerajaan supaya membantu Felda mengambil alih FGV. 

 

Jika pengambilalihan itu berjaya, katanya, Felda perlu menyusun semula strategi dan gerak kerja terutama dari segi ladang dan hiliran supaya agensi itu dapat kembali ke zaman kegemilangannya. 

 

"Ini memang menjadi harapan dan matlamat peneroka selama ini. Sebenarnya, kami tidak bersetuju dengan penyenaraian FGV, tetapi kerajaan ketika itu mahu melaksanakannya, dan kita akur. 

 

"Akibatnya, Felda terpaksa bergelut dengan pelbagai masalah dan hutang semakin meningkat. Mulai 2016, kami berjuang hingga ke hari ini supaya kerajaan bantu Felda ambil semula FGV," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Pada Selasa, dalam notis yang dikeluarkan Maybank IB bagi mewakili Felda memaklumkan agensi itu berhasrat mengambil alih kepentingan dalam FGV Holdings Bhd. dengan nilai sebanyak RM658 juta melibatkan 13.88% pegangan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

 

Setakat ini, Felda memiliki pegangan 21.24% atau 775,029,800 saham dalam FGV.

 

Sebelum ini, suara di peringkat akar umbi juga mahukan supaya FGV dapat diambil semula oleh Felda berdasarkan rekod baik agensi kerajaan itu menguruskan Felda Holdings (sebelum penyenaraian FGV pada 2012) sehingga mampu merekodkan pendapatan sehingga RM1.85 bilion pada 2011. 

 

Menerusi penyenaraian itu, keuntungan paling tinggi direkodkan FGV adalah pada 2012 iaitu RM1.03 bilion dengan harga pasaran FGV sekitar RM4.45, tetapi ia semakin menurun pada tahun lalu hingga merekodkan keuntungan berjumlah RM16.51 juta. 

 

Penyusutan itu juga disebabkan ketidaktentuan dalam pasaran harga minyak sawit, harga saham yang lemah serta beberapa langkah pelaburan yang kurang menguntungkan. 

 

Dalam nota kajian MIDF Research semalam, penganalisisnya, Khoo Zhen Ye berkata, terdapat banyak isu di peringkat struktur organisasi mengenai FGV yang sudah berlarutan terlalu lama. 

 

Keadaan itu telah menjejaskan nilai sahamnya, apabila susut sehingga 72.1% berbanding ketika harga tawaran awam permulaan (IPO), pada RM4.55 sesaham. 

Zulaikha Azmi
Zulaikha Azmi

 

Penyelidik ekonomi di Institut Hal Ehwal dan Demokrasi (IDEAS), Zulaikha Azmi berkata, tampuk kepemimpinan Felda mesti menunjukkan komitmen untuk memastikan salah tadbir urus dapat dicegah. 

 

Ini kerana katanya, pengambilalihan FGV memberi Felda lebih autonomi untuk ladang yang sebelum ini di bawah FGV. 

 

"Jika matlamat Felda memberi fokus kepada memperkasakan peneroka, maka tampuk kepimpinan Felda perlu memberi penekanan kepada kebajikan peneroka dalam pengambilalihan ini. 

 

"Contohnya, menyediakan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada generasi baharu Felda dan menglibatkan peneroka dalam proses pemodenan," katanya.

 

Beliau berkata, dalam Kertas Putih Felda banyak kes salah tadbir urus yang diberi tumpuan dan antara cadangan dibentangkan adalah membuat rombakan kepada struktur organisasi Felda untuk menambah baik tadbir urus. 

 

Tegasnya, jika tiada langkah yang diambil oleh Felda untuk reformasi pengurusan, tiada jaminan yang penyelewengan seperti sebelum ini akan berulang.

 

"Langkah ini dapat memastikan Lembaga Pengarah dan pengurusan Felda dianggotai oleh profesional dan individu yang berintegriti tinggi dianggotai semula oleh wakil peneroka dan juga generasi baharu Felda.

 

"Seperkara lagi, ahli politik tidak sepatutnya dilantik di dalam lembaga pengarah dan mengetuai Felda mahupun subsidiari di bawahnya," jelas beliau. 

Fakhrurrazi Mohd. Habib
Fakhrurrazi Mohd. Habib

 

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda, Fakhrurrazi Mohd. Habib berharap pengambilalihan ini berupaya memantapkan kembali tadbir urus Felda dan juga FGV. 

 

"Pengurusan kewangan yang tersusun hanya boleh dinikmati sekiranya tadbir urusnya adalah lebih baik dan Felda telah berjaya melaksanakannya sebelum FGV disenaraikan," katanya. - DagangNews.com