Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Pengisytiharan darurat di Kazakhstan sejak semalam dijangka menjejaskan operasi dan kewangan Reach Energy Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Perintah darurat di Almaty dan Mangystau bermula 5 hingga 19 Januari dan perintah berkurung berkuat kuasa bermula jam 11 malam hingga 7 pagi.
Kumpulan memaklumkan, ia mempunyai sub-subsidiari, Emir-Oil LLP di lokasi tersebut.
"Kesan terkumpul mungkin menyumbang kepada pengurangan dan impak terhadap kewangan dan operasi syarikat.
"Bagaimanapun, syarikat tidak dapat memastikan kesan sepenuhnya dari segi kewangan dan operasi syarikat buat masa ini disebabkan keadaan yang tidak menentu di Kazakhstan," jelasnya.
Menurut Reach Energy, pengumuman lanjut akan dibuat mengenai kesan kewangan dan operasi serta akibat yang berkaitan dengannya apabila terdapat perkembangan baharu mengenai perkara tersebut.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev mengisytiharkan darurat di bandar terbesar Almaty dan wilayah barat yang kaya dengan minyak, selepas ribuan rakyatnya protes berhubung kenaikan harga bahan api di negara bekas Soviet itu.
Almaty, ibu negara kewangan di tenggara Kazakhstan, berada dalam keadaan huru-hara sejak semalam, apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk meredakan kekacauan yang bermula di barat negara itu berhubung kenaikan harga tempatan bagi Gas Petroleum Cecair (LPG).
Ketika ditutup petang ini, saham Reach Energy menokok 0.05 sen atau 7.69% kepada 7 sen dengan 41,000 saham diniagakan. - DagangNews.com