Dasar Agrikomoditi negara bakal lahirkan pekebun kecil 'pintar' - PM | DagangNews Skip to main content

Dasar Agrikomoditi negara bakal lahirkan pekebun kecil 'pintar' - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi serta meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran Agrikomiditi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, dasar yang akan memayungi pembangunan Agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman, selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca COVID-19.

 

Selain itu beliau berkata, DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai  Agenda Pembangunan Mampan 2030.

 

"Di bawah Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM670 juta kepada kementerian ini bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

 

"DAKN 2021-2030 digunakan bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

 

"Usaha itu seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada pembangunan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya, hari ini.

 

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, pada tahun 2020, sektor Agrikomoditi telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan sebanyak RM85 bilion, yang mana sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion dan hiliran sebanyak RM38 bilion.

 

Beliau berkata, meskipun pandemik COVID-19 melanda negara, nilai eksport produk Agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8% berbanding RM128.5 bilion pada tahun 2019.

 

Perdana Menteri berkata, sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020 dan perubahan itu didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

 

pm

 

"Jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan peningkatan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada tahun 2020, kepada RM17.8 bilion pada tahun 2021. 

 

"Jumlah eksport kayu dan produk berasaskan kayu ke India juga meningkat, walaupun pada kadar yang lebih daripada RM781 juta ringgit kepada RM839 juta ringgit bagi tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 7.5%.

 

"Malaysia juga muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65% pasaran produk berkenaan," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, sektor Agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia sejak berdekad lalu dan ia telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil dalam sektor itu.

 

Beliau berkata, kadar kemiskinan nasional pada tahun 1970 adalah pada tahap 49.3% dan telah menurun kepada 5.6% pada tahun 2019. 

 

"Dalam usaha membangunkan ekonomi, Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran terutama sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat ke atas hasil keluaran Agrikomoditi negara seperti minyak sawit dan getah, yang dikaitkan dengan buruh paksa. 

 

"Namun, demi semangat Keluarga Malaysia, warga KPPK dan Agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara agar terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya," katanya. - dagangnews.com