Data menunjukkan ekonomi Malaysia berjaya dibuka dengan selamat, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Data menunjukkan ekonomi Malaysia berjaya dibuka dengan selamat, kata penganalisis

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama-sama petugas terlibat pada hari terakhir operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur World Trade Centre (KLWTC). - Gambar oleh Facebook KKM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Semua data menunjukkan pembukaan semula ekonomi Malaysia berlaku dengan selamat, dengan kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 semakin menurun. 

 

Sekiranya trend ini berterusan, firma penyelidikan, Macquarie Research (MQ Research) menjangkakan beban penjagaan kesihatan akan berkurangan dan tumpuan boleh dialihkan ke arah membina ekonomi negara seperti mata pencarian dan kos sara hidup rakyat. 

 

“Dengan Belanjawan 2022 hampir tiba, MQ Research berpendapat langkah menangani inflasi terutamanya barangan keperluan akan menjadi tumpuan utama. 

 

“Saham pembukaan semula ekonomi pilihan utama MQ Research adalah RHB Bank Berhad, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Petronas Chemicals Group Berhad (PChem),” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan. 

 

Pada 1 Oktober lalu, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka telah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan setakat ini, tiada lagi negeri di bawah Fasa 1. 

 

Dalam masa sama, Malaysia menyaksikan lebih 50% penduduk remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. 

 

Bagi MQ Research, kadar kemasukan ke hospital yang terus menurun kekal sebagai indikator yang paling memberangsangkan, walaupun terdapat peningkatan mendadak dari segi pergerakan penduduk.

 

“Memandangkan lebih banyak negeri berterusan beralih ke fasa pemulihan seterusnya, pergerakan penduduk berterusan meningkat. 

 

“Daftar masuk My Sejahtera kini mencecah paras 97% daripada paras tertinggi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 di seluruh negara dan melepasi paras tertinggi pra PKP untuk tahun 2021 di beberapa negeri,” tambah firma itu lanjut.

 

Setakat 3 Oktober 2021, Malaysia menyaksikan jumlah kes baharu COVID-19 menurun kepada 9,066 kes dengan 14,454 kes sembuh. - DagangNews.com