Dataprep dilantik sebagai rakan kongsi strategik Neoreka Asia dalam bidang ICT | DagangNews Skip to main content

Dataprep dilantik sebagai rakan kongsi strategik Neoreka Asia dalam bidang ICT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Dataprep Holdings Bhd menjalin kerjasama dengan Neoreka Asia Sdn Bhd, anak syarikat NEOJAPAN Inc rakan kongsi strategik dalam bidang ICT.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi jalinan kerjasama itu Dataprep juga dilantik sebagai penjual semula produk Desknet's Neo, platform perisian kumpulan berasaskan web yang direka dan berfungsi sebagai asas perkongsian maklumat untuk perusahaan.

 

"Kerjasama itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 10 September 2024 dan ia tertakluk kepada terma dan syarat.

 

"Dataprep dan Neoreka akan menggunakan usaha terbaik mereka untuk memajukan kepentingan bersama bagi menyediakan kepakaran, sumber dan maklumat yang berkaitan dengan kerjasama kepada rakan usaha sama mereka," katanya.

 

Faktor risiko yang mempengaruhi kerjasama itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, risiko pelaksanaan seperti ketersediaan dan turun naik harga. 

 

Dataprep mempunyai pengalaman yang luas dan rekod prestasi yang mantap dalam mengurus dan mengurangkan risiko tersebut.

 

Kerjasama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Dataprep. 

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan material ke atas pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com