Datuk Hasmi Hasnan letak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah Perdana Petroleum, fokus kepada Dayang | DagangNews Skip to main content

Datuk Hasmi Hasnan letak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah Perdana Petroleum, fokus kepada Dayang

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Julai - Perdana Petroleum Berhad mengumumkan peletakan jawatan Datuk Hasmi Hasnan daripada Lembaga Pengarahnya, berkuat kuasa 1 Julai 2024.

 

Keputusan Hasmi berundur adalah didorong oleh keperluan beliau untuk, antara lain, memberi tumpuan kepada peranannya sebagai Pengerusi Eksekutif dalam Lembaga Pengarah Dayang Enterprise Holdings Berhad, di mana beliau akan menumpukan perhatian kepada inisiatif strategik teras Dayang dalam tempoh peningkatan aktiviti dalam industri minyak dan gas ini.

 

 

perdana

 

dayang

 

 

Dalam kenyataan media, syarikat itu berkata, semasa memegang jawatan sebagai ahli lembaga Perdana Petroleum, Hasmi telah memainkan peranan penting dalam membimbing syarikat melalui pelbagai inisiatif strategik, menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaannya.

 

"Kepimpinan dan kepakaran beliau telah menjadi aset yang tidak ternilai kepada Syarikat," kata kenyataan media Perdana Petroleum hari ini.

 

"Lembaga Pengarah Perdana Petroleum merakamkan penghargaan atas sumbangan Datuk Hasmi dan berharap bimbingannya yang tidak ternilai akan membawa kedua-dua Dayang dan Perdana Petroleum ke tahap yang lebih tinggi.

 

“Kami berterima kasih atas dedikasi dan khidmat Datuk Hasmi kepada Perdana Petroleum. Wawasan dan kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam pencapaian kami, dan kami menyokong penuh keputusannya untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di Dayang,” kata Jamalludin Obeng, Pengarah Urusan Perdana Petroleum.

 

 

jamal obeng
                       Jamalludin Obeng

 

 

Pada 10 Jun lalu, Dayang mengumumkan peletakan jawatan Jamalludin Obeng sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas.

 

Jamalludin, yang telah menerajui Perdana Petroleum sejak 1 Oktober 2021, berjaya memulihkan semula syarikat selepas menderita tujuh tahun kerugian.

 

Pada tahun 2022, Syarikat mencapai hasil sebanyak RM196.6 juta dan keuntungan bersih RM11.4 juta. Hasil untuk 2023 meningkat kepada RM313.9 juta, dengan keuntungan bersih meningkat empat kali ganda kepada RM44.5 juta.

 

Beliau kini akan memberi tumpuan kepada Syarikat di tengah-tengah jangkaan peningkatan dalam aktiviti dalam industri minyak dan gas pada tahun-tahun akan datang.

 

Perdana Petroleum komited untuk mencapai kejayaan berterusan dalam segmen Kapal Bekalan Luar Pesisir (OSV) dalam industri minyak dan gas. - DagangNews.com