Datuk Muhammad Hafizuddeain diumum sebagai Panglima Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Datuk Muhammad Hafizuddeain diumum sebagai Panglima Tentera Darat

Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dipakaikan pangkat oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Hafizuddeain sambil disaksikan oleh Panglima ATM baharu, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Kuala Lumpur pada 6 September 2023.

KUALA LUMPUR 6 Sept - Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD) Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai PTD yang ke-30 berkuat kuasa hari ini.

 

Muhammad Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan mengambil alih jawatan nombor satu dalam Tentera Darat daripada Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Muhammad Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan PTD pada 23 Mac tahun ini. 

 

Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Muhammad Hafizuddeain  memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dua tahun kemudian.

 

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memiliki pengalaman yang cukup luas kerana telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih.

 

Sepanjang perkhidmatan, beliau juga menghadiri pelbagai kursus antaranya Diploma Sains Pengurusan  di Institut Tadbiran Awam Negara, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Sarjana Pengurusan di Filipina, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

 

Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (2018-2020) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).

 

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (2009-2010), Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar MINDEF (2014-2016) dan Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2016-2017). - DagangNews.com