KUALA LUMPUR 10 Mac – Bekas pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd., Datuk Yusli Mohamed Yusoff meninggal dunia pada usia 63 tahun, tengah hari tadi.
Yusli yang pernah memegang jawatan pengarah eksekutif dan CEO Bursa yang dahulunya dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur mulai 10 April 2004 hingga 31 Mac 2011 difahamkan bertarung dengan kanser.
Antara jawatan terkininya termasuklah Pengerusi Mudajaya Group Bhd. dan Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG).
Beliau turut memegang jawatan pengarah di FGV Holdings Bhd., AirAsia X Bhd., Westports Holdings Bhd. dan KPJ Healthcare Bhd.
Difahamkan solat jenazah akan diadakan di Masjid Bukit Damansara lewat petang ini. - DagangNews.com