KUALA LUMPUR 2 Nov - Penyedia penyelesaian pencahayaan tempatan di bawah jenama Davis Lighting, Davex (M) Sdn. Bhd. melengkapkan pengambilalihan 51% pegangan ekuiti Xenergi Sdn. Bhd.
Davex merupakan syarikat portfolio Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), kini menikmati peneraju pasaran segmen di Malaysia, Singapura dan Australia.
Pengambilalihan Xenergi dipacu oleh landskap tempatan yang menggalakkan.
Kerajaan mengumumkan pelan penjanaan kuasa tertumpunya dengan sasaran 31% Tenaga Diperbaharui (RE) menjelang 2025 dan 40% menjelang 2035.
Solar dijangka menyumbang kepada pertumbuhan kapasiti RE di Malaysia dan serantau, kerana ia dianggap sebagai alternatif yang lebih murah kepada sumber tenaga lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davex, Alok Ghose berkata, pihaknya teruja dengan kehadiran Xenergi di bawah payung Davis yang membolehkan pihaknya membawa penjanaan tenaga solar, pengurusan tenaga, penyejukan yang optimum dan penyelesaian pencahayaan yang mampan.
"Ia akan membantu meningkatkan rekod prestasi kami di seluruh rantau ini dalam melaksanakan pemasangan penyelesaian pintar LED dan Xenergi pasti akan memajukan visi alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) dan Internet Kebendaan (IoT) kami," katanya.
Ekuinas mengambil alih Davex yang berpangkalan di Pulau Pinang pada 2017.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1983 itu menyediakan penyelesaian pencahayaan kepada pelanggan komersil, perindustrian dan kediaman dengan kehadiran kukuh di Singapura dan Australia.
Syarikat itu telah terlibat dalam projek seperti PNB 118, KLCC, Pusat Perubatan Sunway dan program Lapangan Terbang Changi serta Perumahan Awam Singapura.
Alok berkata, pengambilalihan itu menyaksikan Davex dan Xenergi berada dalam kedudukan unik untuk menawarkan penyelesaian RE dan kecekapan tenaga holistik, dengan teknologi integrasi yang disambungkan secara digital.
"Digabungkan dengan keupayaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pintar, iluminasi, perolehan dan pembinaan (EPC) dan bina pasang siap (turnkey) akan meningkatkan usaha kemampanan kami dalam pelbagai segmen di seluruh Asia Tenggara,” katanya. - DagangNews.com