Dayang Enterprise raih lanjutan kontrak penyelenggaraan daripada Sarawak Shell/Sabah Shell Petroleum selama setahun empat bulan | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise raih lanjutan kontrak penyelenggaraan daripada Sarawak Shell/Sabah Shell Petroleum selama setahun empat bulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Dayang Enterprise Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Dayang Enterprise Sdn. Bhd. berjaya meraih lanjutan kontrak bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan utama bahagian atas pelantar minyak (Pakej A) daripada Sarawak Shell Berhad/Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSB/SSPC).

 

Kumpulan itu berkata, lanjutan kontrak itu adalah lebih kurang satu tahun empat bulan dan 12 hari berkuat kuasa 20 Ogos 2023 hingga 31 Disember 2024.

 

"Nilai lanjutan kontrak itu adalah berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan oleh SSB/SSPC sepanjang tempoh kontrak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan dan dijangka menyumbang kepada pendapatan Dayang sepanjang tempoh kontrak.

 

BACA JUGA: Dayang Enterprise terima lanjutan kontrak penyelenggaraan selama setahun lima bulan daripada KPOC

 

Terdahulu, Dayang Enterprise berjaya meraih lanjutan kontrak peruntukan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) selama setahun lima bulan daripada  Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC) sehingga akhir 2024.

 

Selain itu, kontrak Pan Malaysia Dayang Enterprise dengan Hibiscus Oil and Gas Malaysia Ltd untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian juga dilanjutkan selama setahun dan lima bulan lagi sehingga akhir 2024. - DagangNews.com