Definisi hutang statutori tidak berubah sejak 2009 - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

 Definisi hutang statutori tidak berubah sejak 2009 - Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ ketika menyampaikan laporan Laksana ke-46 hari ini.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil menegaskan bahawa definisi hutang statutori tidak pernah berubah dari tahun 2009.  

 

Beliau terpanggil untuk menjawab isu berkaitan hutang negara ekoran ramai pihak yang membangkitkan isu berkenaan.

 

Katanya, had statutori yang selalu disebut-sebut adalah had statutori untuk instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan, iaitu Malaysian Government Securities (MGS), Malaysian Government Investment Issues (MGII) dan Malaysian Islamic Treasury Bills (MITB).

 

“Jenis-jenis hutang yang dikira di bawah had statutori ini adalah di bawah akta yang diguna pakai oleh kerajaan sejak 2009 lagi, bukan terjemahan saya seorang. Dalam kata mudah, definisi hutang statutori tidak pernah berubah dari tahun 2009.

 

“Jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan ini pada akhir Disember 2020 adalah 58% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

“Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini adalah 54% daripada KDNK dan dijangka mencecah 58.5% pada akhir tahun ini. Jadi masih belum melepasi had hutang statutori 60%,” katanya ketika menyampaikan laporan Laksana ke-46, secara langsung di Facebook rasmi miliknya, hari ini. 

 

Isu had hutang statutori ini mula dicetuskan oleh dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan kerajaan di bawah kepimpinan Pakatan Nasional (PN) melanggar undang-undang had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.

 

Namun, Tengku Zafrul membidas dakwaan itu, dan mengesahkan bahawa jumlah hutang negara berada pada kadar 54% setakat akhir Februari. 

 

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 sekitar 24 Ogos tahun lalu. 

 

Menerusi kelulusan itu, had statutori hutang juga dinaikkan sehingga 60% daripada KDNK berbanding 55% pada masa ini.

 

Tambah Tengku Zafrul, jumlah hutang yang perlu ‘dipikul’ kerajaan pada hari ini bukan alasan untuk tidak berbelanja kepada rakyat.

 

“Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang legasi. Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. 

 

“Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan. Ini bukan alasan kerajaan untuk tidak berbelanja untuk rakyat. 

 

“Seperti mana yang saya sebut sebelum ini, kerajaan tetap utamakan perbelanjaan untuk rakyat melalui Strategi 6R,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com