KUALA LUMPUR 27 Julai - Delegasi Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) telah mengadakan kunjungan ke Istanbul, Turkiye bagi meneroka kerjasama industri antara kedua-dua negara.
Lawatan tiga hari bermula 11 Julai lalu itu menerusi inisiatif Kolaborasi Program Teknologi Malaysia-Turkiye (Aeroangkasa serta Pembinaan dan Pembaikan Kapal atau SBSR).
Delegasi AMIM disertai wakil daripada Boustead Naval Shipyard (BNS), Labuan Shipyard and Engineering, Universiti Kuala Lumpur (MIMET) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program dimulakan dengan lawatan ke ASFAT A.Ş. (Military Factory and Shipyard Management Inc.) dan Istanbul Naval Shipyard.
Para delegasi telah dibawa melihat operasi limbungan tersebut dengan lebih dekat.
Lawatan kemudian diteruskan ke STM iaitu syarikat Turkiye yang terlibat dalam industri pertahanan dan teknologi, integrasi sistem, kejuruteraan dan konsultan.
Sesi pertemuan bersama pengurusan kanan STM memberi peluang kepada para delegasi untuk bertukar-tukar pandangan selain membincangkan sebarang kerjasama yang boleh diteroka khususnya dalam sektor maritim.
STM turut menyertai beberapa firma perkapalan luar negara yang berminat untuk terlibat dalam program kapal misi pesisir (LMS) batch kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
STM menawarkan kapal korvet kelas Ada untuk projek ini yang bakal melibatkan nilai perolehan sebanyak RM6.6 bilion bagi lapan buah kapal kesemuanya.
Semasa Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi pada Mei lalu, STM menjadi antara pempamer terbesar dalam Pavilion Turkiye.
Kementerian Pertahanan dijangka memulakan usaha perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 daripada lapan buah pada tahun ini.
Lima buah lagi kapal-kapal LMS Batch 2 akan diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-13.
Delegasi AMIM dan MIGHT kemudian meneruskan sesi dengan melawat Tubitak Marmar Teknoken iaitu sebuah pusat inovasi dan penyelidikan.
Sesi lawatan ke Turkiye khususnya meninjau limbungan perkapalan di negara itu memberi banyak input serta pendedahan yang baik untuk diterjemahkan dalam konteks pembangunan industri maritim di Malaysia.
Ia sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan berhubung strategi jangka panjang untuk memajukan industri pembinaan dan pembaikan kapal.
Model sama boleh dijayakan dalam negara sekali gus memberi manfaat pada projek kerajaan yang melibatkan pihak berkepentingan seperti TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Ini berikutan Malaysia-Turkiye berhasrat untuk menjalinkan kerjasama untuk projek melalui peringkat kerajaan dengan kerajaan yang memberikan impak besar. - Dagang News.com